JPAM sasar 2 juta anggota tahun depan

JPAM sasar 2 juta anggota tahun depan

TAWAU, 30 Ogos – Ketua Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Datuk Ogu Salim Omar berkata pihaknya kini dalam usaha menambah bilangan keanggotaan untuk mencapai sasaran dua juta anggota pada tahun hadapan.

Beliau berkata penambahan bilangan anggota itu adalah selaras dengan penjenamaan semula JPAM yang akan dikenali sebagai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mulai 1 September ini.

“Setakat ini kita mempunyai lebih satu juta anggota. Kita berharap penukaran nama JPAM kepada APM dapat menyuntik semangat anggota untuk lebih komited dalam perkhidmatan kepada masyarakat bagi memastikan ia lebih berkesan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) dan Pemakaian Pangkat Pegawai Tidak Bertauliah 2016 di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ogu Salim berkata pihaknya juga dalam usaha memperbanyak Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti (CERT) khususnya di kawasan yang berisiko di seluruh negara.

“Pasukan kecemasan itu akan menjadi anggota kita yang pertama membantu jika berlaku sebarang kejadian di kawasan masing-masing sebelum ketibaan pasukan menyelamat dari agensi yang lain.

Datuk Ogu Salim Omar (enam, kanan) bergambar kenangan bersama anggota JPAM yang menerima Pingat Kedaulatan Negara (PKN) dan kenaikan pangkat Zon Tawau dan Sandakan kelmarin. - Bernama
Datuk Ogu Salim Omar (enam, kanan) bergambar kenangan bersama anggota JPAM yang menerima Pingat Kedaulatan Negara (PKN) dan kenaikan pangkat Zon Tawau dan Sandakan kelmarin. – Bernama

“Anggota CERT dipilih dalam kalangan penduduk termasuk ketua-ketua kampung dan mereka akan dilatih untuk melakukan operasi menyelamat asas bagi mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan harta benda,” tambahnya.

Beliau berkata pada masa ini, sebanyak 860 pasukan CERT telah ditubuhkan termasuk di Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan semua pengarah di seluruh negeri telah diarah memperhebat usaha untuk menubuhkan pasukan itu.

Mengulas mengenai majlis itu, Ogu Salim berkata ia adalah bukti pengiktirafan kecemerlangan tugas kepada anggota berkenaan, selain memberikan motivasi kepada anggota yang lain. “Ia merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan khas kerajaan kepada wira-wira kita yang bertugas semasa ‘Op Daulat’ di Lahad Datu. Sesungguhnya pengorbanan dan semangat para anggota JPAM dalam insiden berdarah di Tanduo itu amat dihargai,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 50 anggota menerima PKN dan seramai 84 orang anggota lain-lain pangkat peringkat negeri Sabah menerima kenaikan pangkat serta Sijil Penghargaan Pertahanan Awam. – Bernama