JPAM, SCDC edar lebih 1,900 risalah kesedaran tentang Fenomena El Nino

JPAM, SCDC edar lebih 1,900 risalah kesedaran tentang Fenomena El Nino

KOTA KINABALU, 25 Mac (Bernama) – Kelab Kebajikan dan Rekreasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (SCDC) Sabah hari ini meneruskan program kesedaran awam ‘Fenomena El Nino’ di beberapa daerah secara serentak agar orang ramai lebih berwaspada menghadapi cuaca panas dan kering, ketika ini.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sabah hari ini itu berlangsung di Semporna, Lahad Datu, Kudat dan Tuaran, sebagai kesinambungan kepada kempen serupa yang dilancarkan Jumaat lepas di Kota Belud.

Pengerusi SCDC yang juga Pengarah JPAM Sabah Kolonel (PA) Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata sempena program di semua aerah berkenaan, SCDC dan JPAM mengedarkan sejumlah 1,920 risalah dan air mineral kepada masyarakat.

Antara kandungan risalah, termasuk menggesa orang ramai minum air lebih kerap, mengurangkan aktiviti di luar rumah dan menggalak mereka mengenakan pakaian berwarna terang.

Selain itu, orang ramai juga dinasihat mandi lebih kerap untuk menyejukkan badan, memakai pakaian longgar dan tidak tebal, mengurangkan pengambilan minuman mengandungi kafein dan gula tinggi serta menutup kepala semasa berjalan di kawasan terbuka.