JPCC-BV meterai kontrak perjanjian perkhidmatan HSE

JPCC-BV meterai kontrak perjanjian perkhidmatan HSE

Oleh Imelda Farrah Zohre HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Dalam usaha berterusan menyediakan perkhidmatan yang baik dan selamat kepada pengunjung dan klien, Jerudong Park Country Club (JPCC) Sdn Bhd menandatangani kontrak perjanjian dengan Bureau Veritas (BV), untuk membuat pemeriksaan kerap, pengurusan keselamatan dan pemeriksaan elektrik bagi permainan taman tema, peralatan dan kemudahan JPCC termasuk JP Food Court dan JP Amphitheater & Garden.

Penandatanganan kontrak perkhidmatan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) selama dua tahun berkenaan telah berlangsung di Ibu Pejabat JPCC, di sini, hari ini.

Menandatangani bagi pihak JPCC ialah Pengarahnya, Awang Abdul Lattif bin POKSS DP Haji Mohd Yussof manakala BV diwakili Pengerusi BV Brunei, Dr. Haji Kamaruddin bin DSP Haji Talib.

Hadir menyaksikan majlis penandatangan itu ialah Pengurus Besar JPCC, Haji Jaidi bin Haji Abdul Sani.

Di bawah kontrak ini juga, BV akan mengendalikan latihan dan menyediakan modul latihan komprehensif bagi kakitangan JPCC yang relevan bagi meningkatkan kualiti dan kecekapan pengendali permainan dan kakitangan penyelenggaraan JP Playground.

Pihak pengurusan JPCC dan wakil-wakil BV bergambar ramai di majlis penandatanganan kontrak perjanjian berkenaan, kelmarin.
Pihak pengurusan JPCC dan wakil-wakil BV bergambar ramai di majlis penandatanganan kontrak perjanjian berkenaan, kelmarin.

Pengurus Kewangan JPCC, Awang Jeff Hadiman Danial, berkata penandatanganan ini menandakan usaha berterusan JPCC dalam mengukuhkan lagi piawaian kesihatan dan keselamatan kepada kemudahan mereka.

“Perjanjian ini merangkumi pelbagai jaminan perkhidmatan yang akan meningkatkan dan menghala JPCC ke arah haluan yang betul,” ujarnya semasa sesi soal jawab di majlis itu.

Beliau seterusnya berkata, JPCC memang memiliki juruteknik tersendiri dan BV akan bekerja rapat dengan mereka dalam meningkatkan dan memastikan perkhidmatan HSE dalam standard yang diperlukan.

Wakil BV, Awang Muhd Khairin Iskandar, Rejivijayasenan dan Senthil Kumar pula menjelaskan fokus utama BV dalam perkhidmatan yang diberikan adalah keselamatan orang ramai.

BV juga akan membuat pemeriksaan kerap mengikut prosedur dan keperluan yang bagi mereka sama ada enam bulan sekali atau setiap bulan atau setiap hari tertakluk kepada jenis pemeriksaan yang dilaksanakan.

BV adalah syarikat global yang berkemahiran dalam ujian, pemeriksaan dan perkhidmatan pensijilan.

Syarikat itu, diiktiraf sebagai kumpulan kedua terbesar dalam penilaian pematuhan dan perkhidmatan pensijilan dalam bidang Kualiti, Kesihatan, Keselamatan, Alam Sekitar dan Tanggungjawab Sosial (QHSE) yang mula beroperasi di Brunei pada tahun 1989.

ARTIKEL YANG SAMA