JPD anjur pertandingan corak dan warna bas

JPD anjur pertandingan corak dan warna bas

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 April – Sebagai salah satu inisiatif dalam projek transformasi sistem pengangkutan awam di negara ini, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Perhubungan mempelawa orang ramai yang berminat untuk ikut serta dalam peraduan mencipta corak dan warna bas awam yang lebih bersesuaian.

Peraduan ini menawarkan hadiah wang tunai berjumlah $1,500 bagi pemenang pertama, $1,000 di tempat kedua dan $500 di tempat ketiga. JPD dalam kenyataannya telah menggariskan syarat-syarat peraduan iaitu dibukakan kepada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam; ciptaan corak dan warna hendaklah asli dan belum pernah dipertandingkan; peserta dibenarkan menghantar seberapa banyak penyertaan dengan menggunakan borang penyertaan rasmi; dan huraian dan pengertian corak serta warna hendaklah disertakan secara berasingan.

Syarat-syarat teknikal pula, corak hendaklah mengandungi elemen-elemen wajib iaitu sederhana dan kontemporari, ciri-ciri keBruneian adalah satu keutamaan dan angka sebagai contoh ’08’ dalam tulisan Rumi.

Setiap corak hendaklah menggunakan tidak lebih daripada empat warna (tidak termasuk warna hitam dan putih), dan hendaklah dicetak dengan menggunakan kertas ukuran A3 (corak hendaklah nampak dan jelas).

Setiap penyertaan hendaklah dihadapkan dalam dua bentuk iaitu salinan digital (DVD dalam format JPEG, TIFF atau PNG) dan cetak pada kertas A3 (dalam format Landskap) yang diletakkan pada mounting board berwarna hitam dengan bingkai yang berukuran satu inci di sekeliling kertas berkenaan.

Syarat-syarat khusus, corak hendaklah bercirikan keBruneian, tidak bercanggah dengan konsep MIB serta wawasan dan hasrat negara sebagai sebuah Negara Zikir, serta mestilah pada badan kenderaan sahaja, tidak pada mana-mana bahagian cermin kenderaan.

Semua penyertaan dan pemenang adalah menjadi hak milik JPD, Kementerian Perhubungan, dan JPD berhak mengubahsuai dan menambah corak yang menang atas persetujuan peserta berkenaan (jika diperlukan). Pemenang dikehendaki untuk menyerahkan salinan digital corak berkenaan dalam bentuk ‘unflattened / layered’.

Menurut kenyataan itu, tatacara penilaian dan penghakiman untuk menentukan pemenang adalah menggunakan dua peringkat iaitu secara undian bagi corak dan warna yang disenarai pendekkan dan seterusnya akan dinilai oleh panel hakim yang dilantik.

Undian akan dibukakan kepada orang ramai melalui media sosial yang akan dimaklumkan kemudian, dan undian tertinggi adalah satu kelebihan daripada sudut penghakiman oleh panel hakim. Keputusan panel hakim adalah muktamad.

Orang ramai yang berminat, borang penyertaan boleh didapati di Kaunter Penyambut Tetamu, Ibu Pejabat, JPD, Jalan Gadong dan tarikh tutup adalah 2 Mei.

ARTIKEL YANG SAMA