JPD lantik 11 syarikat bagi VIS

JPD lantik 11 syarikat bagi VIS

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) hari ini mengumumkan pelantikan 11 buah syarikat yang diberi kebenaran untuk menjalankan pemeriksaan kenderaan-kenderaan persendirian dan komersial (VIS) tujuh tahun ke atas khususnya bagi kenderaan yang dikeluarkan syarikat-syarikat berkenaan berkuatkuasa 24 September 2016.

JPD dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, menyenaraikan 11 buah syarikat iaitu Boustead Motors Sdn Bhd, GHK Motors Sdn Bhd, NBT (Brunei) Sdn Bhd, Premier Motor Company, QAF Auto Sdn Bhd, QAF Eurokars Sdn Bdn, United Motors Sdn Bhd, Setia Motors Sdn Bhd, T.C.Y Motors Sdn Bhd, Bayu Ilham Motors Sdn Bhd dan Bengkel Kereta Berakas (BKB) Sdn Bhd.

Dengan lantikan 11 buah bengkel ini, maka orang ramai kini mempunyai pilihan untuk membuat pemeriksaan kenderaan di bengkel-bengkel yang tersenarai di atas, selain Pusat Pemeriksaan Kenderaan di semua cawangan JPD seluruh negara.

Kadar bayaran pemeriksaan yang akan dikenakan oleh VIS yang dilantik adalah sama seperti kadar bayaran yang dikenakan oleh JPD pada masa ini iaitu bagi jenis kenderaan persendirian dan komersil, bagi pemeriksaan pertama ialah $5, manakala pemeriksaan semula ialah $10. Manakala pemeriksaan bagi motosikal dikenakan bayaran $2 bagi pemeriksaan pertama dan $4 bagi pemeriksaan semula.