JPD pantau, banteras kegiatan ‘teksi sapu’

JPD pantau, banteras kegiatan ‘teksi sapu’

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN,14 April – Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) memandang serius kepada kegiatan kenderaan sapu (teksi sapu) haram dan memberikan amaran keras kepada mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan itu untuk menghentikan kegiatan haram berkenaan.

Mereka yang didapati melakukan kesalahan itu berulang kali, pihak JPD akan mengambil tindakan untuk melaporkan kegiatan mereka itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan undang-undang.

Dalam usaha untuk membanteras kegiatan teksi sapu atau kenderaan sapu itu, JPD telah membuat pemantauan di kawasan-kawasan yang dikenal pasti di Daerah Brunei dan Muara termasuk lapangan terbang, pelabuhan Muara, terminal feri, Terminal Bas Bandar Seri Begawan dan perhentian-perhentian bas di kawasan seperti The Mall, Gadong; The Airport Mall dan kawasan kedai di Serusop.

Pada masa ini, pemantauan yang dilakukan bukan sahaja terhad kepada membuat rondaan tetapi juga melibatkan kegiatan pemantauan dalam tempoh beberapa bulan dengan mencatatkan kenderaan dan mengambil gambar kenderaan-kenderaan yang disyaki terlibat dalam kegiatan teksi sapu bagi menghasilkan profil kenderaan dan pemandu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu.

Hasil daripada kaedah profil yang dilaksanakan, lebih 261 buah kenderaan telah dicatatkan dan gambar-gambar direkodkan, jelas Ketua Penguatkuasaan dan Keselamatan, Jalan Raya, Awang Baha bin Haji Awang Jamahat.

Awang Baha mendedahkan hasil dapatan operasi pemantauan kenderaan sapu di kawasan-kawasan yang dikenal pasti di Daerah Brunei dan Muara.
Awang Baha mendedahkan hasil dapatan operasi pemantauan kenderaan sapu di kawasan-kawasan yang dikenal pasti di Daerah Brunei dan Muara.

Hasil daripada penelitian yang dibuat, kira-kira 28 surat notis panggilan telah dikeluarkan kepada pemilik dan pemandu kenderaan yang dipantau melakukan kegiatan kenderaan sapu sebanyak tiga kali atau lebih, jelasnya lagi dalam sidang media mengenai operasi pemantauan kenderaan sapu yang berlangsung di Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Darat, Beribi, hari ini.

“Setakat ini, 19 orang telah hadir ke JPD bersama pemilik kenderaan dan ditemu duga, majoriti mereka telah diberikan amaran dan jika didapati melakukan kegiatan yang sama, data dan maklumat mereka akan dihadapkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.”

Pada masa yang sama, jelas Awang Baha, Pasukan Polis Diraja Brunei telah dan sentiasa membuat profil dan berdasarkan kepada cantuman data yang diperoleh dari kedua-dua buah agensi itu, JPD akan menyerahkan maklumat pemandu yang didapati menjalankan kegiatan haram berulang-ulang itu kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.

Beliau juga berkata bahawa menjadi satu kesalahan di bawah Akta Lalu lintas (2007), Bab 68, mengendalikan perkhidmatan pengangkutan awam tanpa lesen di mana jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan dan denda $10 ribu.

Beliau juga mendedahkan, semasa operasi JPD yang dijalankan, seorang warga asing telah didapati menjalankan kegiatan kenderaan sapu dan lelaki itu telah diserahkan kepada pihak penguatkuasaan yang berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Di samping itu, mengikut maklumat yang diterima daripada pihak agensi penguatkuasaan yang lain, beberapa orang pemandu kenderaan sapu yang melakukan kegiatan kenderaan sapu adalah dalam proses pendakwaan.

Mendedahkan lanjut statistik operasi pemantauan dan profil yang dilaksanakan oleh JPD, Awang Baha menyatakan bahawa daripada 261 buah kenderaan yang dicatat itu, sebanyak 36 buah adalah di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan satu notis panggilan telah dikeluarkan.

Sebanyak 131 buah pula di Pelabuhan Muara dan Terminal Feri, Serasa di mana lima notis panggilan telah dikeluarkan dan empat orang telah hadir ke JPD dan keempat-empat orang yang dipanggil itu membuat perakuan terlibat dalam kegiatan kenderaan sapu.

Sementara itu, 95 buah kenderaan dipantau di Terminal Bas Bandar Seri Begawan dan perhentian-perhentian bas di mana sebanyak 23 notis panggilan telah dikeluarkan dan 15 orang telah hadir ke JPD serta sembilan orang daripada mereka telah membuat perakuan.

Awang Baha menerangkan bahawa pada masa ini, tindakan yang diambil adalah untuk memberikan nasihat dan amaran keras kepada para pemandu yang terlibat dalam kegiatan kenderaan sapu untuk menghentikan kegiatan mereka dan jika mereka gagal untuk mematuhi amaran itu, nama mereka akan diserahkan kepada pihak penguatkuasaan yang berkenaan untuk tindakan lanjut.

Beliau juga mendedahkan bahawa pemandu-pemandu yang didapati melakukan kegiatan kenderaan sapu itu bukan sahaja warga asing tetapi juga warga tempatan di mana sebilangan mereka tidak mempunyai pekerjaan, ada yang merupakan pesara dan juga pekerja perkhidmatan awam.

Dalam hubungan itu, pihak JPD ingin menasihatkan orang ramai untuk tidak menggunakan perkhidmatan kenderaan sapu kerana mereka mengambil risiko yang tinggi di mana kenderaan sapu tidak dilindungi oleh insurans jika sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Mengulas mengenai keberkesanan operasi yang dijalankan, Awang Baha mendedahkan bahawa hasil daripada operasi itu, pihak JPD mendapati, kegiatan kenderaan sapu semakin berkurangan di kawasan-kawasan yang dikenal pasti dan berharap untuk melanjutkan operasi pemantauan itu ke seluruh negara di masa yang terdekat.

Pada masa yang sama, hasil mesyuarat terkini, beberapa operasi bersepadu akan diadakan sebagai tindakan berterusan bagi membanteras dan mengurangkan kegiatan teksi sapu.