JPDC sasar pelabur China, Jepun, Korea

JPDC sasar pelabur China, Jepun, Korea

JOHOR BAHARU, 23 Jun (Bernama) – Johor Petroleum Development Corporation (JPDC) kini memberi fokus kepada pelabur China, Jepun dan Korea untuk melabur dalam industri berkaitan petrokimia di projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

Ketua Eksekutifnya Mohd Yazid Ja’afar berkata projek itu yang akan menjana pelaburan bernilai berbilion ringgit, dijangka mula beroperasi pada 2019. “Tetapi, pelabur-pelabur China yang kita fokuskan itu adalah pelabur yang tergolong dalam tier kedua, bukan tier pertama.

“Tier pertama adalah syarikat-syarikat besar yang telah pun meneroka ke pasaran Amerika Syarikat dan lain-lain dan pelabur jenis tier kedua pun sudah cukup besar bagi kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara JPDC dan empat agensi di sini pada Rabu.

Beliau berkata ketiga-tiga negara itu diberi tumpuan kerana mempunyai teknologi tinggi yang boleh dikongsikan dengan syarikat tempatan.

Sementara itu, empat agensi yang terlibat dengan MoU tersebut ialah Unit Peneraju Agenda Bumiputera, Jabatan Perdana Menteri (TERAJU), SME Corporation Malaysia (SME Corp), Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dan SME Bank.

Hadir menyaksikannya ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Hasni Mohammad manakala TERAJU pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Husni Salleh; SME Bank oleh Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus; CGC oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Zamree Ishak serta SME Corp oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Nainy.

ARTIKEL YANG SAMA