JPE bertindak proaktif isu lampu jalan raya di Mengkubau

JPE bertindak proaktif isu lampu jalan raya di Mengkubau

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jun – Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE) telah bertindak proaktif terhadap aduan Insan Simpati dalam ruangan ‘e-Mel dari Pembaca Media Permata‘ kelmarin, dengan segera membuat pemeriksaan ke atas masalah ketiadaan lampu jalan yang menjadi kebimbangan penduduk yang tinggal di kawasan Skim Perumahan Mengkubau.

Dalam satu kenyataan hari ini, JPE berkata; “Berhubung dengan isu lampu jalan raya yang tidak berfungsi sepertimana yang telah dibangkitkan, sukacita memaklumkan bahawa pihak JPE telah serta merta membuat pemeriksaan di kawasan berkenaan, dan mengenal pasti gangguan adalah berpunca daripada kerosakan suis kawalan lampu jalan di kawasan Bukit Sinadur.

“Kerja-kerja penggantian telah siap dilaksanakan pada 21 Jun 2016. Di samping itu, JPE telah juga mengungkayahkan kontrak perkhidmatan bagi pemeliharaan lampu jalan secara menyeluruh di kawasan Skim Perumahan Mengkubau.

“Kontrak perkhidmatan tersebut, akan membolehkan permasalahan yang berkaitan dengan lampu jalan dapat ditangani seawalnya tanpa tergendala. JPE juga ingin memaklumkan bahawa semua aduan berkaitan dengan gangguan bekalan elektrik dan isu-isu lampu jalan di Skim Perumahan Mengkubau kini boleh dibuat melalui talian Darussalam 123.”

JPE dalam kenyataannya turut menarik perhatian mengenai isu keselamatan awam dan bahaya tenaga elektrik.

Menurut JPE, Perintah Akta Elektrik (Pindaan) 2002, menyatakan mana-mana orang awam yang dengan sengaja mengganggu atau mengubah apa-apa yang berkaitan dengan pemasangan elektrik jabatan seperti suis kuasa utama ataupun pengawal lampu jalan, adalah menjadi satu kesalahan.

Aset-aset jabatan hanya boleh dikendalikan oleh pekerja yang kompeten dan diberikan kebenaran mengenainya.

Sambil merakamkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan ‘Insan Simpati’ dalam mengemukakan isu-isu yang melibatkan kesejahteraan penduduk di kawasan Bukit Sinadur, Skim Perumahan Mengkubau, JPE berkata sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi talian Darussalam 123 atau Pengarah Perkhidmatan Elektrik di talian 7170697, atau pengurus kawasan di talian 8280010.

ARTIKEL YANG SAMA