JPE umum skim pampasan gangguan elektrik

JPE umum skim pampasan gangguan elektrik

Oleh Danial Norjidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jun – Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE) telah mengumumkan skim pampasan untuk membayar balik perniagaan-perniagaan terjejas akibat gangguan elektrik tidak terancang yang melebihi tiga jam, dengan skim pendekatan baru ini berkuat kuasa bermula hari ini (1 Jun 2016).

Hanya pelanggan yang dikategorikan dalam sektor komersial (tarif B), seperti contoh kedai-kedai runcit, pasar raya, bengkel kereta dan sebagainya, akan layak bagi pampasan berkenaan, menurut JPE dalam satu kenyataan media di sini.

Pampasan dalam kilowatt-jam (kWh) akan dikira berdasarkan purata penggunaan pelanggan setiap jam dan akan diberikan dalam bentuk sama ada pemberian kredit token bagi pelanggan menggunakan meter prabayar atau dalam bentuk pengurangan kWh daripada bil bagi pelanggan yang menggunakan meter pasca bayar konvensional atau CT.

Kenyataan juga menyatakan bahawa di bawah skim pampasan ini, JPE tidak akan membayar pampasan bagi sebarang kerosakan ke atas harta benda, produk-produk, perkakasan atau peralatan, menurut jabatan itu.

Pelanggan boleh memproses tuntutan mereka menerusi sistem dalam talian dengan mengisi borang pampasan daripada laman sesawang rasmi JPE di www.des.gov.bn/downloads atau mana-mana kaunter JPE (semasa waktu pejabat).

Pelanggan akan menerima resit penerimaan tuntutan mereka menerusi e-mel atau panggilan telefon dan akan menerima pampasan mereka dalam tempoh tiga hari waktu bekerja, menurut kenyataan itu lagi.

Bagi maklumat lanjut me-ngenai skim berkenaan, pelanggan boleh menghubungi Talian Darussalam 123, mengunjungi mana-mana kaunter JPE semasa waktu bekerja atau memuat turun garis panduan pampasan daripada laman sesawang JPE.

 

ARTIKEL YANG SAMA