JPI hargai jasa guru

JPI hargai jasa guru

Oleh Normazlina M.D

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan – Jabatan Pengajian Islam (JPI) Daerah Tutong dan Jawatankuasa Guru-guru Ugama Daerah Tutong pagi tadi telah mengadakan Majlis Penghargaan dan Mengenang Jasa Mantan Pemangku Penolong Pengarah (Institusi Pengajian), JPI, yang diselajurkan dengan Majlis Meraikan Penerima Anugerah Guru Cemerlang sempena Sambutan Hari Guru tahun 2015.

Majlis yang diadakan di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong itu dihadiri oleh mantan pemangku penolong pengarah (Institusi Pengajian), JPI, Hajah Surbiah binti Haji Tengah selaku tetamu kehormat majlis.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa, diikuti dengan ucapan alu-aluan Pengerusi Jawatankuasa Guru-guru Ugama Daerah Tutong, Pengiran Zaidi bin Pengiran Haji Abu Bakar dan ucapan tetamu kehormat.

Hajah Surbiah dalam ucapannya berkata, pengalaman yang diperolehi selama 29 tahun berkhidmat masih belum cukup untuk mencurahkan bakti khidmat memandangkan umurnya sudah menjangkau umur persaraan.

Penyampaian cenderahati kepada Hajah Surbiah daripada wakil Jabatan Pengajian Islam cawangan Daerah Tutong dan Jawatankuasa Guru-guru Ugama Daerah Tutong.
Penyampaian cenderahati kepada Hajah Surbiah daripada wakil Jabatan Pengajian Islam cawangan Daerah Tutong dan Jawatankuasa Guru-guru Ugama Daerah Tutong.
Dayang Mazmewati ketika menerima Anugerah Guru Cemerlang sempena Sambutan Hari Guru tahun 2015.
Dayang Mazmewati ketika menerima Anugerah Guru Cemerlang sempena Sambutan Hari Guru tahun 2015.

Dalam ucapannya itu, beliau turut berkongsi beberapa rahsia untuk menjadi pemimpin yang boleh dimanfaatkan oleh semua pihak, antaranya memberikan kawalan yang selesa kepada para pegawai dan kakitangan serta sentiasa berterus-terang, segera membuat keputusan, sentiasa membincangkan sasaran, bantu dan bimbing pegawai dan kakitangan di bawah kawalan, suka membantu dan membimbing orang bawahan, sentiasa peka terhadap masalah dan banyak lagi.

Majlis turut meraikan Penerima Anugerah Guru Cemerlang sempena Sambutan Hari Guru tahun 2015 kepada Guru Besar Sekolah Ugama Keriam Tutong, Dayang Mazmewati binti Mazali dengan persembahan Dikir Marhaban beramai-ramai.

Dayang Mazmewati telah berkhidmat lebih 18 tahun dalam bidang pendidikan dan mempunyai pengalaman berkhidmat di empat buah sekolah iaitu Sekolah Ugama Pengiran Muda Mahkota (PMM) Kuala Tutong, SU Lamunin Khas, SU Bukit Panggal dan pada masa ini, beliau masih lagi berkhidmat di SU Keriam selaku guru besar.

Hasil usaha beliau sebagai pendidik dan penggalak kepada pelajar-pelajarnya, SU Keriam telah meraih kejayaan menepati sasaran sekolah 100 peratus lulus selama enam tahun dan kesemua murid memperolehi pangkat 1 dalam peperiksaan SSSRU.

Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada mereka yang diraikan dan seterusnya sesi bersalaman dan bergambar ramai bagi memperingati majlis.

Majlis bertujuan untuk memberikan penghargaan dan mengenang jasa mantan pemangku penolong pengarah sebagai pemimpin yang telah banyak memberikan pelbagai usaha dalam menjayakan beberapa inisiatif atau program dan seterusnya mengangkat imej JPI termasuk di Daerah Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA