JPJ Sarawak sedia bantu LPKP benteras Uber

JPJ Sarawak sedia bantu LPKP benteras Uber

SRI AMAN, 2 Okt -Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak bersedia membantu Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dalam operasi membanteras perkhidmatan Uber di negeri ini.

Pengarahnya Datuk Ibrahim Othman berkata sekiranya ada permintaan daripada LPKP untuk berbuat demikian, terpulang kepada lembaga itu untuk menyusun strategi atau formula operasi tersebut nanti.

“JPJ Sarawak bersedia membantu LPKP untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang ke atas (pengusaha) Uber sekiranya diminta berbuat demikian,” katanya kepada Bernama selepas majlis penutupan program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) Lubok Antu di Kompleks Sukan Lubok Antu semalam.

Ibrahim berkata mereka yang terlibat mengusahakan Uber melakukan kesalahan kerana tidak memiliki lesen memandu kenderaan perkhidmatan awam (PSV) oleh JPJ dan permit beroperasi sebagai kenderaan perkhidmatan awam dikeluarkan LPKP.

Beliau berkata kesalahan berkenaan termaktub di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (ALPKP).

“Saya difahamkan kegiatan Uber sudah mula bertapak di Sarawak secara kecil-kecilan dan belum meluas seperti mana di bandar-bandar utama di Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata pengusaha Uber menggunakan kenderaan yang lebih baik berbanding teksi biasa dan tempahan perkhidmatan dibuat secara dalam talian di samping kadar tambang dikatakan lebih murah.

Faktor-faktor tersebut akan mewujudkan suasana tidak adil kepada pengusaha-pengusaha teksi dan kenderaan perkhidmatan awam lain yang berlesen di negeri ini, katanya.

Ibrahim berkata kegiatan Uber di negeri ini perlu dibanteras di peringkat awal lagi supaya tidak berleluasa. – Bernama