JPJ Sarikei dapat bangunan sendiri tahun ini

JPJ Sarikei dapat bangunan sendiri tahun ini

SARIKEI, 4 Mei (Bernama) – Pejabat Cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarikei akan memiliki bangunan sendiri bernilai RM21.4 juta pada tahun ini, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Beliau berkata pejabat itu akan dibina secara berperingkat di Kilometer 4.8, Jalan Repok di sini dengan kos peringkat permulaan sebanyak RM4.2 juta.

Pasa masa ini, pejabat cawangan JPJ itu menyewa bangunan kedai di Jalan Bersau di sini sejak 1992.

Di samping itu, sebuah Stesen Penguat Kuasa JPJ dirancang dibina di Lebuhraya Pan Borneo, berhampiran simpang Pakan dekat ini, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya, di sini hari ini.

Dalam kempen keselamatan bersepadu itu, sebanyak 50 buah topi keledar dan jaket keselamatan diagihkan kepada penunggang motosikal.

Kempen itu dianjurkan bersama oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Sarawak, JPJ Cawangan Sarikei, Majlis Keselamatan Jalan Raya Sarikei dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).