JPK lancar Hari Pelanggan

JPK lancar Hari Pelanggan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Jabatan Percetakan Kerajaan (JPK), Jabatan Perdana Menteri, hari ini, telah melancarkan Hari Pelanggan JPK di ibu pejabatnya, Lapangan Terbang Lama, Berakas.

Ia bertujuan bagi memberigakan lagi kitab-kitab yang dihasilkan dan perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan oleh JPK bukan sahaja kepada orang ramai tetapi juga kepada syarikat-syarikat swasta.

Pemangku Pengarah Jabatan Percetakan Kerajaan, Haji Kamarul Azam bin Haji Mohamad berkata, selain daripada menghasilkan kitab-kitab keagamaan seperti Mushaf Al-Quran, Surah Yasin dan Tahlil, Takhtim Al-Quran, Ratib Al-Attas dan banyak lagi, JPK juga menerbitkan warta kerajaan dan memberikan beberapa perkhidmatan nilai tambah percetakan seperti menyadur tepi buku (gilt edging), embossing, Hot Stamping, menjahit buku dan memasang kulit buku.

“Dalam masa terdekat, Jabatan percetakan Insya-Allah memberi nafas baru kepada beberapa kitab yang dihasilkannya seperti kitab Surah Yasin di mana bahagian besar perisiannya nanti akan diselaraskan tulisan khatnya.

“Selain itu, doa-doa pilihan yang terkandung di dalamnya seperti doa tahlil, doa selamat, doa kesyukuran dan doa tolak bala juga akan diberi terjemahan dalam Bahasa Melayu,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa pelancaran Hari Pelanggan berkenaan juga bersempena dengan perasmian Bahagian Perkhidmatan Pelanggan yang berwajah baru.

Bagi kemudahan dan keselesaan pelanggan, bahagian berkenaan dilengkapi dengan kaunter-kaunter perkhidmatan, sistem nombor giliran, ruang pameran yang mempamerkan pelbagai jenis produk keluaran JPK dan bilik-bilik konsultasi yang boleh digunakan untuk perbincangan, penyemakan dan penyuntingan reka bentuk produk dalam sistem komputer, ulasnya kepada media. Antara aktiviti semasa pelancaran berkenaan ialah lawatan ke tempat-tempat di mana proses-proses percetakan dan penjilidan dilakukan.

Haji Kamarul berkata, melalui lawatan ini, para jemputan berpeluang untuk menyaksikan proses-proses seperti penghasilan plat percetakan, proses mencetak, pemotongan kertas, melipat kertas, menjahit buku, pemasangan kulit buku sama ada kulit keras mahupun kulit lembut, hot-stamping, dan gilt edging.

Menurut kenyataan JPK, maklumat lanjut mengenai produk-produk jualan dan perkhidmatan-perkhidmatan JPK boleh didapati dari Bahagian Perkhidmatan Pelanggan JPK, pada hari bekerja dari 8 pagi hingga 11:45 pagi dan 2 hingga 4 petang.

Sempena Hari Pelanggan JPK ini, para pengunjung berpeluang melawat ke tempat-tempat di mana proses percetakan dan penjilidan dilaksanakan oleh JPK.

ARTIKEL YANG SAMA