JPKE buat lawatan mengejut

JPKE buat lawatan mengejut

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jan – Sepasukan pegawai penguat kuasa kawalan harga Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri telah membuat lawatan mengejut ke Pusat Membeli-Belah Hua Ho Manggis dan kedai Warisan Utama Jaya, Sungai Tilong, di sini, petang tadi.

Turut menyertai lawatan yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah JPKE, Haji Abdul Amin bin Haji Hashim itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Ekonomi dan Kewangan) di Jabatan Perdana Menteri, Dr Hajah May Faezah binti Haji Ahmad Ariffin.

Haji Abdul Amin semasa ditemui Media Permata menjelaskan bahawa lawatan mengejut ini bertujuan untuk melihat sama ada akta kawalan harga telah dipatuhi oleh kedai-kedai runcit, pembekal serta penjual di Negara Brunei Darussalam.

Lawatan ini juga merupakan kerja-kerja yang sentiasa dilaksanakan oleh pihak JPKE secara berterusan bagi memantau perlaksanaan akta kawalan harga yang telah diamanahkan bagi JPKE untuk menjalankannya.

Haji Abdul Amin semasa ditemui pihak media.
Haji Abdul Amin semasa ditemui pihak media.
Dr. Hajah May Faezah semasa menyertai lawatan tersebut.
Dr. Hajah May Faezah semasa menyertai lawatan tersebut.
Pegawai-pegawai JPKE semasa menjalankan tugas mereka di lawatan mengejut petang kelmarin.
Pegawai-pegawai JPKE semasa menjalankan tugas mereka di lawatan mengejut petang kelmarin.

Menurut beliau, barang-barang keperluan asas yang telah ditetapkan harganya di bawah Akta Kawalan Harga Penggal 142 ialah minyak masak jenis Palm, Canola, Corn, Vegetable, Sunflower dan Soya Bean, susu tepung anak damit, kenderaan bermotor penumpang dan bata tanah liat.

Haji Abdul Amin juga menjelaskan, bagi mana-mana pembekal atau penjual yang tidak mematuhi harga yang ditetapkan akan diambil tindakan bersesuaian seperti mengeluarkan notis amaran.

“Walau bagaimanapun jika terdapat syarikat-syarikat atau peniaga yang mengulangi kesalahan-kesalahan, pihak JPKE akan mengenakan keluaran kompaun kepada mereka.”

Selain itu juga, tindakan lain seperti denda sebanyak $5,000 dan penjara dua tahun dan denda sebanyak $20 000 serta penjara lima tahun bagi kesalahan yang berulang. Orang ramai diharap akan terus memberi sokongan terhadap JPKE dan pada masa yang sama, beliau menyeru agar para pengguna dapat menjadi pengguna yang bijak dengan bersifat berhati-hati dan bersikap bijak semasa berbelanja serta membuat perbandingan harga barang-barang berkenaan.

“Apabila membayar barang-barangan yang telah dibeli, pengguna bijak juga harus menyemak kembali resit-resit yang telah dikeluarkan kerana kita tahu kadang-kadang mungkin kesilapan-kesilapan akan berlaku tanpa disengajakan,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, sejak penguatkuasaan pindaan-pindaan baru Akta Kawalan Harga Penggal 142 pada tahun 2014, sebanyak 179 notis amaran telah dikeluarkan kepada syarikat-syarikat yang membuat kesalahan.

Di samping itu, sebanyak 13 denda kompaun telah dikenakan ke atas syarikat-syarikat yang membuat kesalahan berulang.

Bercakap mengenai dengan Brunei Salebration pula, beliau berkata bahawa dari segi pengguna, kebanyakan mereka merasa berpuas hati dan telah mendapat manfaat daripada harga-harga asal yang telah diturunkan.

Sementara itu, dari segi peniaga pula, mereka turut berpuas hati dan terdapat peningkatan jumlah peniaga-peniaga yang ikut serta dalam Brunei Salebration pada tahun ini. Lawatan itu telah disertai oleh lebih 10 orang pegawai dari JPKE.

ARTIKEL YANG SAMA