JPKE kendali kemas kini banci penduduk

JPKE kendali kemas kini banci penduduk

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 16 Ogos – Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, melalui Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) sedang mengendalikan Kemaskini Banci Penduduk dan Perumahan (KBPP) 2016 bagi Negara Brunei Darussalam bermula Mei hingga November nanti.

KBPP 2016 tersebut akan dilaksanakan melalui dua fasa iaitu yang pertama pada Mei hingga September 2016, dijalankan secara berperingkat-peringkat dan meliputi semua keluarga/isi rumah dan penduduk sama ada rakyat Negara Brunei Darussalam, penduduk tetap atau penduduk sementara, bagi mengemas kini maklumat ciri-ciri peribadi, peringkat pendidikan dan pekerjaan.

Sementara itu bagi Fasa Kedua pada Oktober hingga November, melibatkan kira-kira 5,000 buah keluarga/isi rumah sahaja yang telah dipilih secara rambang di beberapa buah kampung atau kawasan bagi mengumpulkan maklumat yang lebih terperinci mengenai ciri-ciri tenaga kerja.

Sehubungan itu JPKE menyeru orang ramai supaya memberikan kerjasama kepada pegawai banci untuk memastikan KBPP 2016 berjalan dengan lancar.

Mereka juga turut menyeru kepada para penghulu dan ketua kampung untuk turut memberikan kerjasama dalam menyokong perlaksanaan KBPP yang sedang berlangsung sejak Mac lalu.

Gambar ramai pada Majlis Perjumpaan Dengan Penghulu-penghulu dan Ketua-ketua Kampung Mengenai KBPP 2016.
Gambar ramai pada Majlis Perjumpaan Dengan Penghulu-penghulu dan Ketua-ketua Kampung Mengenai KBPP 2016.

Pemangku Pengarah Am JPKE, Haji Abdul Amin bin Haji Hashim, pada Majlis Perjumpaan Dengan Penghulu dan Ketua-ketua Kampung Mengenai KBPP 2016 baru-baru ini, menjelaskan pentingnya penglibatan sama daripada penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung terutama dalam membantu dari segi menerangkan kepada penduduk di bawah jagaan mereka.

Menurutnya, antara yang dapat dilakukan oleh penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampung ialah menemani pegawai-pegawai Banci yang telah dilantik, jika didapati isu-isu seperti di waktu malam atau jika didapati dalam rumah suami tiada dan sebagainya, supaya tiada timbul isu lain.

Selain itu, bantuan pemimpin akar umbi itu juga diperlukan di kawasan-kawasan pendalaman memandangkan rumah-rumah terletak berjauhan.

Semasa Fasa Pertama dijalankan, pegawai banci yang dilantik akan melawat ke tempat-tempat kediaman di seluruh negara bagi tujuan penomboran rumah dan seterusnya akan memasang pelekat bagi setiap tempat kediaman, pegawai-pegawai banci juga akan menghantar surat makluman dan borang banci kepada isi rumah.

Pengumpulan maklumat banci dijalankan melalui ‘Self-Enumeration’ (Self-E) di mana ketua atau ahli isi rumah mengisikan sendiri borang yang disediakan untuk diambil semula dan disemak oleh Pegawai Banci pada tarikh yang dipersetujui bersama.

Pegawai-pegawai banci boleh juga mengadakan temuduga bersemuka, jika dikehendaki oleh ketua atau ahli isi rumah berkenaan.

JPKE juga berhasrat untuk menjalankan uji cuba kaedah mengisikan dan mengembalikan borang banci secara elektronik sebagai persediaan awal bagi pengendalian Banci Penduduk dan Perumahan pada tahun 2021.

Melalui kaedah itu, ketua atau ahli isi rumah boleh mengisikan sendiri borang banci dengan memuat turun borang banci dari laman web JPKE dan mengembalikannya melalui e-mel. Bagaimanapun, uji cuba ini hanya akan dibukakan kepada kumpulan sasaran tertentu yang telah dikenal pasti.

KBPP 2016 dijalankan di bawah Akta Banci Penggal dari Undang-Undang Negara Brunei Darussalam, Akta Banci mewajibkan orang ramai menjawab semua soalan banci dan menjamin bahawa maklumat individu adalah disimpan sulit dan dirahsiakan.

Hasil yang diperolehi melalui KBPP 2016 akan dapat memberikan tanda aras baru bagi kegunaan penilaian, perancangan dan pembetulan dasar oleh pihak kerajaan, dan pelbagai tujuan penganalisaan dan penyelidikan oleh pengguna-pengguna lain,  sebarang pertanyaan mengenai KBPP 2016 orang ramai boleh merujuk ke JPKE melalui talian 2230250 atau 2230265 pada waktu pejabat atau emel kepada population.census@jpke.gov.bn dan laman web www.depd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA