JPKE lancar laman web baru

JPKE lancar laman web baru

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Okt – Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) hari ini telah melancarkan laman web JPKE yang baru sempena sambutan Hari Perangkaan Sedunia (WSD) 2015 yang berlangsung di bangunan JPKE, di sini.

Hadir bagi menyempurnakan pelancaran tersebut ialah Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

Sempena sambutan WSD 2015 di Negara Brunei Darussalam, JPKE selaku pihak yang berkuasa bagi Perangkaan Negara melancarkan laman web JPKE yang baru yang mengandungi perangkaan negara yang terkini, pagi tadi.

Terdahulu Pemangku Ketua Pengarah JPKE, Haji Abdul Amin bin Haji Hashim dalam ucapan alu-aluannya berkata, dengan pengubahsuaian dan menaiktarafkan laman web JPKE ini dihasratkan akan lebih memudahkan para pengguna untuk mendapatkan data atau maklumat perangkaan rasmi negara yang meliputi bidang perangkaan ekonomi dan sosial dan perangkaan negara yang terkini.

Beliau juga menjelaskan tarikh 20 Oktober telah diisytiharkan sebagai Hari Perangkaan Sedunia dan akan diraikan setiap lima tahun, seperti yang telah diluluskan melalui resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pemangku Ketua Pengarah ketika memberikan ucapan alu-aluan.
Pemangku Ketua Pengarah ketika memberikan ucapan alu-aluan.
Tetamu kehormat majlis menyaksikan laman web yang baru dilancarkan.
Tetamu kehormat majlis menyaksikan laman web yang baru dilancarkan.
Gambar ramai kenangan tetamu kehormat bersama warga-warga JPKE ketika pelancaran laman web tersebut.
Gambar ramai kenangan tetamu kehormat bersama warga-warga JPKE ketika pelancaran laman web tersebut.

Sambutan WSD 2015, dengan tema ‘Data Bekualiti, Hidup Sejahtera’ adalah bertujuan untuk memberigakan mengenai kepentingan sistem perangkaan yang berkualiti di peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi mendokong pembentukan perancangan kemajuan dan pembuatan dasar oleh kerajaan, dan apa jua kegunaan dalam membuat keputusan berasaskan maklumat.

“Hasil daripada pelaksanaan program-program kemajuan berkenaan yang berasaskan penganalisisan data yang relevan, berkualiti dan terkini setentunya akan memberikan impak positif kepada kesejahteraan kehidupan rakyat dan penduduk di semua lapisan masyarakat di sesebuah negara”, ujarnya.

Katanya lagi, data atau maklumat berkualiti yang dihasilkan daripada sumber diyakini dan metodologi yang dipertingkatkan, penggunaan teknologi baru dan sistem perangkaan yang selaras dan berkesan akan dapat menghasilkan keputusan yang lebih baik dan seterusnya akan mewujudkan kehidupan yang lebih sejahtera.

Majlis pada pagi itu diakhiri dengan persembahan video promo WSD 2015 dan Video petikan gambar Laman Web.

Selain dari majlis pelancarannya hari ini, JPKE juga akan melaksanakan beberapa aktiviti sempena sambutan WSD 2015, antaranya ialah Majlis Bacaan Surah Yasin dan Tahlil pada hari Khamis, 22 Oktober 2015 bagi memperingati warga JPKE yang telah kembali ke rahmatullah; bekerjasama dengan pihak media bagi menyebarkan ‘infographics’ perangkaan negara bermula 20 hingga 31 Oktober 2015 dan promosi jualan bagi buku-buku terbitan JPKE.

Sebarang pertanyaan mengenai sambutan WSD dan laman web baru JPKE bolehlah dirujuk ke JPKE dengan menghubungi talian 2230250 atau 2233344 (waktu pejabat) atau melayari laman web http://depd_prod.egc.gov.bn atau e-mel info.statistics@jpke.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA