JPKE muat naik harga barang komoditi

JPKE muat naik harga barang komoditi

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Mac – Jabatan Perancangan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri memaklumkan bahawa maklumat harga barang komoditi terpilih telah dimuat naik ke dalam Sistem Price Watch di laman web jabatan tersebut www.depd.gov.bn, hari ini.

JPKE dalam kenyataannya menjelaskan, Sistem Price Watch merupakan sebahagian daripada Program Price Watch inisiatif JPKE sejak tahun 2009, yang telah diungkayahkan dengan kerjasama Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC) bagi meningkatkan pengalaman orang ramai dalam membuat perbandingan harga produk-produk terpilih.

Objektif sistem berkenaan adalah untuk memberikan maklumat terkini mengenai harga komoditi kepada pengguna, di samping meningkatkan kesedaran pengguna terhadap perubahan harga, serta untuk memupuk tabiat perbelanjaan yang bijak dengan membuat perbandingan harga.

Sistem baru ini akan membolehkan pengguna mencari produk mengikut kategori atau mengikut nama perniagaan dengan mudah.

Menurut JPKE, sistem ini akan sentiasa dipertingkatkan dan dikemaskinikan untuk memastikan objektif tersebut dicapai.

Untuk sebarang pertanyaan atau aduan mengenai harga-harga atau perniagaan yang menyertai Program Price Watch tersebut, orang ramai dialu-alukan untuk menghubungi JPKE di talian 2230223 semasa waktu pejabat atau melalui Facebook www.facebook.com/AduanpenggunaJPKE atau melalui e-mel aduanpengguna@jpke.gov.bn

Sebarang aduan yang dikemukakan hendaklah mengandungi nama perniagaan, jenis barang, tarikh pembelian, dan resit pembelian.

Aduan yang memerlukan bayaran balik akan memerlukan tandatangan pengadu pada semua borang aduan. Semua aduan dan maklumat pengadu adalah dianggap sulit.

ARTIKEL YANG SAMA