JPKE tetapkan harga maksimum, 152 barangan makanan terpilih

JPKE tetapkan harga maksimum, 152 barangan makanan terpilih

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jun – Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri, dengan kerjasama Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama telah menetapkan harga maksimum ke atas 152 barang makanan terpilih khusus untuk persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri 1436H.

Barang-barang makanan yang ditetapkan harga maksimum ialah daging ayam bulat, telur ayam, daging, mentega, marjerin, minyak sapi (ghee), susu pekat, cair dan krim, tepung, kacang jagus, sapuan coklat hazelnut, santan pekat, krim dan serbuk, serbuk cili udang kering dan kulit popia.

Penetapan harga maksimum ke atas barang-barang makanan terpilih ini akan bermula pada 1 Ramadan 1436H sehingga 7 Syawal 1436H.

JPKE dalam satu kenyataan hari ini berkata, penetapan harga maksimum ini bertujuan untuk mengawal harga barang-barang makanan terpilih yang merupakan bahan-bahan asas bagi penyediaan makanan semasa bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Ia diharapkan dapat membantu rakyat di negara ini terutama yang berpendapatan rendah dalam menampung perbelanjaan harian mereka sempena musim perayaan ini.

Sehubungan itu JPKE menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan sikap bijak dalam berbelanja dan membuat perbandingan harga-harga sebelum berbelanja.

Sebarang maklumat berhubung dengan harga-harga yang melebihi harga maksimum yang ditetapkan boleh dibuat aduan kepada Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) melalui hotline 2230223 semasa waktu pejabat atau e-mel ke alamat aduanpengguna@jpke.gov.bn dan consumercomplaint@jpke.gov.bn

ARTIKEL YANG SAMA