JPM akhiri program bertadarus

JPM akhiri program bertadarus

Oleh Osman Abu Bakar

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Program Mentakmir Masjid di masjid-masjid di bulan Ramadan Jabatan Perdana Menteri dan jabatan-jabatan di bawahnya berakhir kelmarin dengan majlis Khatam Al-Qur’an yang diadakan di Jame’ ’Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong di ibu negara.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah oleh Pemangku Pegawai Ugama Kanan Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Awang Haris bin Haji Suboh diikuti dengan bacaan Juz Amma dan ayat-ayat Lazim beramai-ramai.

Majlis Kemudiannya diteruskan dengan bacaan takhtim dan Doa Khatam dipimpin oleh Pegawai-pegawai Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri dan diakhiri dengan bacaan tahlil , doa tahlil dan doa selamat oleh pegawai-pegawai dari Jame’ ’Asr Hassanil Bolkiah.

Program Mentakmir Masjid atau aktiviti bertadarus di masjid-masjid di bulan Ramadan ini adalah satu sumbangan Jabatan Perdana Menteri dan jabatan-jabatan di bawahnya bagi menghidupkan bulan Ramadan.

Sebagaimana pada tahun-tahun yang lalu, aktiviti bertadarus pada tahun ini masih mengekalkan program tujuh hari. Sebanyak tujuh buah masjid telah dipilih untuk menjayakan aktiviti ini iaitu bermula pada 22 Jun di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampong Manggis/Madang diikuti seterusnya di Masjid Setia Ali, Pekan Muara; Masjid Rancangan Perpindahan Negara Kampong Menteri, Masjid Jefri Bolkiah, Kampong Batong; Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas; Masjid Kampong Limau Manis dan Majils Khatam di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah di ibu negara pada 30 Jun, 2015.

Suasana ketika berlangsungnya khatam Al-Qur’an yang diadakan di Jame’ ’Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong di ibu negara.
Suasana ketika berlangsungnya khatam Al-Qur’an yang diadakan di Jame’ ’Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong di ibu negara.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah oleh Pemangku Pegawai Ugama Kanan Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Awang Haris diikuti dengan bacaan Juz Amma dan ayat-ayat Lazim beramai-ramai.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah oleh Pemangku Pegawai Ugama Kanan Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Awang Haris diikuti dengan bacaan Juz Amma dan ayat-ayat Lazim beramai-ramai.

Program dan aktiviti bertadarus ini diharapkan akan dapat menjalin ikatan silaturahim dan muhibah di antara orang-orang kenamaan, pegawai-pegawai kerajaan di Jabatan Perdana Menteri dan jabatan-jabatan di bawahnya dengan orang ramai khususnya penduduk kariah masjid yang dipilih.

Intrinsik pada aktiviti ini ialah nilai perasaan kekitaan di kalangan kakitangan jabatan yang terbit daripada kesempatan setiap orang daripada mereka membuat sumbangan di dalam pengendalian majlis yang dihoskan oleh jabatan masing-masing berupa kewangan atau tenaga dan meniatkannya untuk mengharap pahala dan keberkatan yang berganda untuk diri dan ahli keluarga yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.

Apa yang penting ditekankan ialah penghayatan kita terhadap program ini, umpamanya penghayatan dalam meningkatkan keupayaan dan semangat serta kualiti membaca Al-Quran kerana apa yang diharapkan daripada program ini ialah ramainya pegawai dan kakitangan yang mahu tampil dan boleh membaca Al-Quran sebagaimana yang diharapkan.

Dari itu, program bertadarus ini juga adalah sebagai program motivasi kepada pegawai dan kakitangan jabatan untuk terus berazam mempertingkatkan kualiti dan kebolehan membaca Al-Quran.

ARTIKEL YANG SAMA