JPM beri penjelasan berhubung isu gaji

JPM beri penjelasan berhubung isu gaji

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini mengeluarkan satu kenyataan menjelaskan bahawa perkara berkaitan pengurangan gaji kakitangan Perkhidmatan Awam seperti yang dilaporkan dalam beberapa artikel di media cetak dan media sosial adalah tidak tepat dan tidak berasas.

Berikut ialah kenyataan penuh yang dikeluarkan oleh JPM:

“Jabatan Perdana Menteri ingin merujuk kepada beberapa laporan yang terbit daripada beberapa artikel yang dikeluarkan oleh beberapa media cetak dan media sosial di negara ini yang memberikan gambaran bahawa terdapat kenyataan yang dibuat semasa perbincangan di dalam Majlis Mesyuarat Negara yang memberikan anggapan seolah-olah pihak kerajaan bercadang untuk melaksanakan pengurangan gaji kepada kakitangan Perkhidmatan Awam.

“Laporan ini telah menarik perhatian banyak pihak serta komen-komen negatif terutama di dalam media cetak dan media sosial.

“Pihak Kementerian Kewangan juga telah mengeluarkan penjelasan melalui media cetak di negara ini.

“Dalam hubungan ini, Jabatan Perdana Menteri ingin menjelaskan bahawa perkara berkaitan pengurangan gaji kakitangan Perkhidmatan Awam seperti yang dilaporkan tidak pernah dibuat atau ditimbulkan di dalam mana-mana sesi Majlis Mesyuarat Negara tahun ini.

“Oleh itu, sebarang laporan mengenai pengurangan gaji kakitangan Perkhidmatan Awam adalah tidak tepat dan tidak berasas.

“Sukacita juga menarik perhatian pihak media supaya lebih bertanggungjawab dalam memberikan liputan-liputan dengan memberikan laporan-laporan yang lebih tepat dan ‘credible’ bagi mengelakkan masyarakat tempatan dan antarabangsa keliru; dan membuat tanggapan dan liputan yang salah.

“Dalam penerimaan dan penyebaran maklumat, pengguna-pengguna media cetak dan media sosial adalah diingatkan untuk memastikan maklumat yang diterima adalah betul dan bukannya dari sumber yang kurang tepat atau tidak sahih.”

ARTIKEL YANG SAMA