JPM, Kem. Kewangan perintis gaji dua kali sebulan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov – Pegawai dan kakitangan Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan serta jabatan-jabatan di bawahnya akan menjadi perintis kepada inisiatif pembayaran gaji dua kali sebulan yang diperkenalkan hari ini dan berkuat kuasa mulai bulan Januari 2018.

Rasional pembayaran gaji dua kali sebulan ini bertujuan meningkatkan keberkesanan pengurusan aliran tunai pegawai dan kakitangan untuk membiayai keperluan harian, memudahkan perancangan perbelanjaan, membantu kelangsungan aktiviti komersial dan perekonomian dalam negara, sekali gus menjadikan ekonomi domestik lebih berdaya tahan.

Perkara itu ditekankan dalam dua taklimat secara serentak di Dewan Teater Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan yang diselaraskan oleh Jabatan Perbendaharaan, dalam pemberigaan inisiatif pembayaran gaji dua kali sebulan itu.

Setiausaha Tetap (Dasar dan Pelaburan), Kementerian Kewangan, Dato Paduka Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman menyampaikan taklimat di Teater Jabatan Perdana Menteri pagi tadi manakala taklimat yang sama juga disampaikan oleh Setiausaha Tetap (Prestasi), Kementerian Kewangan, Dayang Norliah binti Haji Kula di Dewan Teater Kementerian Kewangan.

Menurut Dato Paduka Ahmaddin, peringkat permulaan bagi projek pembayaran gaji dua kali sebulan ini akan dilaksanakan secara rintis kepada dua kementerian sahaja iaitu Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.

Timbalan Menteri di JPM Dato Seri Paduka Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud (empat dari kanan) dan pegawai-pegawai serta kakitangan JPM dan Kem. Kewangan yang menghadiri sesi taklimat tersebut.
Dato Paduka Ahmaddin menyampaikan taklimat inisiatif pembayaran gaji dua kali sebulan.

Perlaksanaan secara rintis ini juga bagi membolehkan Jabatan Perbendaharaan menilai dan meneliti maklum balas yang diperolehi daripada perlaksanaan program ini sebelum menimbangkan untuk melaratkannya ke agensi lain.

Memandangkan Sistem Gaji Berkomputer dan Sistem Gaji Hari adalah di bawah kawalan Jabatan Perbendaharaan, maka perlaksanaan rintis di Kementerian Kewangan akan memudahkan Jabatan Perbendaharaan untuk mendapatkan maklum balas segera dari pegawai dan kakitangan yang terlibat, katanya.

Tambahnya lagi, pegawai dan kakitangan yang terlibat secara rintis iaitu pegawai dan kakitangan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan yang berjawatan tetap, berkontrak, sebulan ke sebulan, open vote dan bergaji hari iaitu khusus bagi pegawai dan kakitangan yang gajinya dibayar melalui Jabatan Perbendaharaan.

Pada taklimat itu juga menekankan bahawa pegawai dan kakitangan dari Badan-badan Berkanun dan Government Link Companies tidak terlibat di dalam inisiatif ini.

Walau bagaimanapun pihak Badan-badan Berkanun dan Government Link Companies boleh melaksanakan inisiatif ini tertakluk kepada ketetapan Lembaga masing-masing. Projek ini juga tidak melibatkan peserta Skim i-Ready dan Pusat Pembangunan Kapasiti, pembayaran-pembayaran Pencen Perkhidmatan, Elaun Pencen Tua, Elaun Gelaran, Bantuan Kebajikan, Elaun Kurang Upaya dan lain-lain.

Pelaksanaan pembayaran gaji dua kali sebulan ini adalah mengikut jenis pembayaran gaji seperti bagi gaji sebulan, gaji bersih akan dikira seperti pengiraan pada masa ini iaitu dengan menolak segala potongan dari jumlah gaji dan elaun-elaun, gaji bersih akan dibahagi dua, separuh daripadanya akan dibayar pada pertengahan bulan dan separuh lagi akan dibayar pada penghujung bulan, dan juga slip gaji masih dikeluarkan sekali sebulan iaitu pada pembayaran pertama gaji pada bulan berkenaan.

Manakala bagi yang bergaji hari, pembayaran akan dibuat melalui sistem TAFIS, di mana jumlah gaji yang akan dibayar adalah mengikut pengiraan jumlah hari dan potongan bulanan pula dibahagi kepada dua untuk dipotong dari jumlah gaji yang dibayar.

Slip gaji pula boleh dicetak oleh jabatan yang berkenaan jika diperlukan oleh pegawai dan kakitangan yang berkenaan, Jabatan akan memasukkan maklumat ke dalam Sistem Gaji Hari pada minggu pertama setiap bulan bagi kedatangan penuh bagi bulan berkenaan. Mana-mana potongan termasuk ketidakhadiran bekerja pada bulan berkenaan akan dipotong dari gaji bulan berikutnya.

Sementara itu, bagi gaji melalui baucar pembayaran pula, jumlah gaji dan potongan bulanan dibahagikan kepada dua untuk dibayar dan dipotong pada pertengahan dan penghujung bulan.

Bagi potongan-potongan yang perlu disalurkan kepada pihak ketiga seperti caruman TAP dan SCP akan dibayarkan ke agensi yang berkenaan pada hujung bulan. Manakala bagi pembayaran bonus pula dikekalkan seperti biasa iaitu pada penghujung bulan Disember.

Perlaksanaan pembayaran gaji dua kali ini juga telah mendapat sokongan dan kerjasama dari pihak Institusi-institusi Kewangan, di mana Pihak Institusi Kewangan akan membahagikan kepada dua iaitu segala potongan pinjaman peribadi, pinjaman perumahan, pinjaman pembelian kenderaan dan mana-mana pinjaman lain untuk ditolak dari setiap pembayaran gaji.

Beberapa siri taklimat akan diteruskan bagi memberigakan inisiatif pembayaran gaji dua kali sebulan ini kepada semua pegawai dan kakitangan Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan serta Jabatan-jabatan di bawahnya.