JPM semarakkan Nuzul Al-Quran

JPM semarakkan Nuzul Al-Quran

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Julai – Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya, hari ini, menyemarakkan Sambutan Nuzul Al-Quran tahun ini dengan mengadakan majlis sambutan yang diselajurkan dengan penyampaian sumbangan derma yang berlangsung di Dewan Bankuet, Jabatan Perdana Menteri.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kewangan II di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim, yang turut menyempurnakan penyampaian derma sempena hari raya kepada 38 penerima.

Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, ketua jabatan, para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan di JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Terdahulu majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran berserta terjemahannya oleh Awang Mohd Aizat bin Haji Ahmad dan Awang Muhd Nurhanis bin Ismail.

Penolong Peguam Cara Negara, Pejabat Peguam Negara selaku Pengerusi Majlis, Haji Yusree bin Haji Junaidi ketika menyampaikan ucapan berkata penerima sumbangan derma di majlis itu terdiri daripada kakitangan di JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya yang telah dikenal pasti berpendapatan rendah. Ia bertujuan untuk meringankan beban perbelanjaan dan juga sebagai persediaan mereka menjelang Hari Raya tahun ini.

Yang Berhormat Pehin menyampaikan sumbangan derma kepada para penerima.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan sumbangan derma kepada para penerima.
Awang Badaruddin semasa menyampaikan ceramah.
Awang Badaruddin semasa menyampaikan ceramah.

Dana sumbangan derma ini merupakan hasil kutipan daripada pegawai dan kakitangan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Majlis juga disemarakkan lagi dengan ceramah khas bertajuk ‘Al-Quran Penawar dan Rahmat’ yang telah disampaikan oleh penceramah undangan daripada Pusat Dakwah Islamiah, Awang Badaruddin bin Haji Basar.

Beliau dalam ceramahnya menjelaskan bahawa Al-Quran diturunkan untuk panduan umat Islam yang membawa rahmat dan berkat dan surah-surah serta ayat-ayat di dalam Al-Quran adalah menjadi sebagai ubat penawar hati dan pengubat rohani seperti Surah Al-Fatihah dan ayat Kursi.

Menurut beliau lagi, Al-Quran bukan hanya untuk dibaca tetapi ia juga penawar hati dan jika umat Islam membacanya dengan yakin dan percaya akan Allah swt, Al-Quran memberikan rahmat dan hidayah yang tidak terhingga.

Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran dan Penyampaian Sumbangan Derma itu dikelolakan bersama Bahagian Keselamatan dan Penguatkuasaan, Pejabat Peguam Negara dan Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

ARTIKEL YANG SAMA