JPM semarakkan sambutan Dikir Maulud

JPM semarakkan sambutan Dikir Maulud

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Dis – Bagi menyambut kedatangan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, rombongan Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini, telah mengadakan Majlis Dikir Maulud di Masjid Ash-Shaliheen.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di JPM dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri di JPM, Dato Paduka Haji Mohd Roselan bin Haji Mohd Daud, para pegawai kanan, pegawai serta kakitangan di JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Majlis ini antara lain bertujuan untuk memperingati kelahiran junjungan besar nabi kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam, serta mengeratkan lagi tali silaturahim antara satu sama lain dalam kalangan warga JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Menteri di JPM dan Menteri Kewangan II (Tengah) ketika menghadiri majlis dikir berkenaan.
Menteri di JPM dan Menteri Kewangan II (Tengah) ketika menghadiri majlis dikir berkenaan.

Majlis dimulakan dengan solat Fardu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid Ash-Shaliheen, Awang Anuar bin Haji Salim, sebelum diteruskan dengan Dikir Assalamualaika, diikuti Dikir Hairuman, Dikir Badatslana dan beberapa dikir-dikir lain.

Majlis diteruskan lagi selepas menunaikan solat Fardu Isyak berjemaah dengan Dikir Ashraqal dan Dikir Marhaban, kemudian diakhiri dengan bacaan doa selamat serta Doa Peliharakan Sultan yang dibacakan oleh pegawai hal ehwal masjid berkenaan.