JPMC adakan promosi ‘Tulang & Sendi’

JPMC adakan promosi ‘Tulang & Sendi’

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mei – Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) mengadakan promosi ‘Tulang dan Sendi’ bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai osteoarthritis lutut bermula 27 Mei hingga 6 Jun ini.

Pakej pemeriksaan yang ditawarkan berharga $218 merangkumi dua sesi rundingan dengan pakar ortopedik, sinar-X posterior dan anterior sendi lutut, soal selidik, penjagaan diri dan cakera padat serta risalah panduan senaman.

Pakej Viscosupplementation yang berharga $1,288 pula termasuk satu sesi rundingan dan prosedur melibatkan suntikan cecair tebal (hyaluronate) bagi mengganti dan mengembalikan sifat-sifat bendalir sinovia semula jadi sendi lutut untuk membantu pelinciran dan penyerapan kejutan.

Setiap pakej rawatan dan pemeriksaan boleh ditebus sehingga 6 Jun dan tertakluk kepada sokongan pakar. Pakej perubatan tidak boleh ditukar dengan perkhidmatan lain dan apa-apa ujian atau perkhidmatan yang tidak dimanfaatkan akan terbatal.

Perkhidmatan lain yang ditawarkan termasuk ortopedik umum, kecederaan sukan, pengurusan patah, osteoarthritis, pemeriksaan belakang dan sakit leher serta banyak lagi.

Osteoartritis lutut memberi kesan berbeza dalam cara yang berbeza, dan kadang-kadang boleh berlaku dalam tempoh setahun atau dua tahun, tetapi lebih kerap menyebabkan kerosakan perlahan yang akan terjadi selepas bertahun-tahun dengan perubahan kecil tetapi menyakitkan.

“Lutut merupakan salah satu sendi paling biasa terjejas akibat osteoarthritis tanpa mengenal usia. Gaya hidup tidak aktif, obesiti, kekurangan vitamin D, tabiat buruk pemakanan, atletik melampau, asid urik yang tinggi, kecederaan sukan, trauma dan jangkitan menyumbang kepada insiden tinggi osteoarthritis dalam kalangan individu muda,” kata Ketua dan Perunding Jabatan Ortopedik dan Kecederaan Sukan di JPMC, Dr. Sonali Pande.

ARTIKEL YANG SAMA