JPMC anjur kempen derma darah

JPMC anjur kempen derma darah

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Dis – Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) dengan kerjasama New Gate Plus akan mengadakan kempen derma darah sempena Hari Inovasi 2015 anjuran Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB), pada 5 Disember ini.

Kempen yang dibukakan untuk orang ramai itu akan diadakan di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa dari pukul 10 pagi hingga 1 petang.

Menurut kenyataan JPMC, kempen ini diadakan untuk menyokong acara Hari Inovasi berkenaan serta meningkatkan kesedaran dan menekankan kepentingan menderma darah kepada masyarakat.

Jururawat tabung darah JPMC, Romeo Tabios dipetik sebagai berkata, “Tabung darah sentiasa memerlukan penderma darah sukarelawan. Memberi sekurang-kurangnya 15 minit masa anda dan anda akan menyelamatkan tiga nyawa.”

Menurut kenyataan itu lagi, menderma darah bukan sahaja memberi balik kepada masyarakat, malahan ia memberikan faedah fizikal dan mental kepada kesihatan penderma, yang mana ia membantu mengurangkan risiko penyakit jantung dan kanser, serta membakar kalori.

Sebelum menderma darah, para penderma akan ditanya mengenai sejarah ringkas kesihatan mereka dan menjalani pemeriksaan kesihatan fizikal asas.

Dengan ini, para penderma akan mengetahui mengenai beberapa faktor untuk dipertimbangkan seperti denyutan nadi, tekanan darah, suhu badan, kolesterol dan paras hemoglobin. Penderma darah juga akan diperiksa bagi penyakit berjangkit.

ARTIKEL YANG SAMA