JPMC anjur persidangan kardiologi ke-5

JPMC anjur persidangan kardiologi ke-5

Oleh Imelda Farrah Zohre HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jun – Pusat Jantung Gleneagles, Jerudong Park Medical Centre (JPMC), akan menganjurkan Persidangan Kardiologi Antarabangsa Brunei Darussalam ke-5 di Dewan Royal Berkshire, Royal Brunei Polo and Riding Club, pada 6 dan 7 Jun ini.

Persidangan bertema “Recent Advances in Cardiology” itu akan disertai oleh pakar kardiologi dan pakar bedah kardiotoraks terkemuka dari Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan, Singapura dan Malaysia, berserta komuniti perubatan di negara ini.

Semasa sidang media di JPMC, hari ini, pengerusi jawatankuasa persidangan, Pengarah Kardiologi Tidak Invasif, Konsultan Pakar Kardiologi dan Pakar Perubatan, JPMC, Dr Thirunavukkarasu Ganesan menjelaskan persidangan dua hari itu bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai perkembangan baru dalam bidang kardiologi, termasuk kardiologi intervensi, pembedahan jantung, kegagalan jantung dan aritmia.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa rawatan kardiologi moden yang terdapat di hospital-hospital terbaik di rantau ini, kini telah pun disediakan di Gleneagles JPMC.

Majlis pembukaan rasmi persidangan berkenaan, pada 6 Jun, dijangka dihadiri oleh Menteri Pendidikan yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Agensi Pelaburan Brunei, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, selaku tetamu kehormat.

Dr. T. Ganesan (dua dari kanan) menjelaskan mengenai persidangan kardiologi berkenaan di sidang media yang berlangsung di JPMC, petang kelmarin.
Dr. T. Ganesan (dua dari kanan) menjelaskan mengenai persidangan kardiologi berkenaan di sidang media yang berlangsung di JPMC, petang kelmarin.

Di majlis itu, dua pembentangan akan disampaikan iaitu “Gleneagles JPMC Cardiac Centre – Distance Travelled and Milestones Achieved” oleh Ketua Perkhidmatan Klinikal dan Pembedahan Jantung, Gleneagles JPMC, Profesor Eugene Sim, dan diikuti dengan pembentangan mengenai penyakit pembunuh “Brugada Syndrome” oleh Pakar Elektrofisiologi Jantung, yang juga Pengarah Institut Penyelidikan EP Pasifik Rim Los Angeles, AS.

Persidangan utama dibukakan pada pagi 7 Jun dan akan meliputi tajuk-tajuk terkini mengenai kardiologi seperti status semasa penyakit jantung iskemia dan pengurusannya, kardiologi intervensi termasuk TAVI (Trans Catheter Aorta Valve Implantasi) dan Mitraclip, injap penyakit jantung, aritmia jantung, topik baru dalam pembedahan jantung, dan rawatan baru dengan memasukkan Alat Bantuan Ventrikel Kanan (LVAD) bagi pesakit yang mengalami kegagalan jantung yang teruk. Panel penceramah pada persidangan ini termasuk pakar terkenal dalam bidang kardiologi dan Elektrofisiologi, kardiologi intervensi dan pembedahan jantung.

Respons terhadap persidangan itu amat menggalakkan dengan lebih 250 peserta berdaftar setakat ini, yang terdiri daripada doktor, jururawat dan profesional kesihatan yang lain dari Brunei dan rantau ini.

ARTIKEL YANG SAMA