JPMC bakal beri rawatan IVF

JPMC bakal beri rawatan IVF

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mei – Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) bakal menyediakan rawatan In-Vitro Fertilisation (IVF) dengan bantuan Saringan Genetik Praimplantasi (PGS) di Brunei.

Sehubungan dengan itu, satu memorandum persefahaman (MoU) di antara JPMC dengan Sengenics Brunei Sdn Bhd telah diadakan di Bilik CME, JPMC, di sini, pagi ini.

Dengan MoU tersebut, kedua-dua organisasi akan membantu pasangan yang memiliki masalah dengan kehamilan, memandangkan rawatan ini boleh membantu meningkatkan peluang kadar kejayaan kehamilan melalui IVF yang mana embrio dengan kromosom normal sahaja yang diimplan sekali gus mengurangkan kadar keguguran.

Hadir bagi menandatangani MoU bagi pihak JPMC ialah ahli Lembaga Pengarah JPMC, Awang Abdul Latiff bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusuf, manakala mewakili bagi Sengenics Brunei Sdn Bhd ialah Pengarah Komersial, Johan Poole-Johnson.

Majlis penandatanganan itu disaksikan oleh Dato Paduka Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dari JPMC dan Dr. Arif Anwar dari Sengenics Brunei Sdn Bhd.

Juga hadir ialah pihak pengurusan kanan dan kakitangan JPMC dan Sengenics.

Dato Paduka Dr. Haji Mohd Isham berkata, JPMC amat gembira untuk bekerjasama dengan Sengenics Brunei Sdn Bhd kerana perkongsian ini akan menjadi yang pertama untuk memudahkan saringan genetik dengan rawatan IVF di Brunei Darussalam.

Ini, tambahnya, akan meningkatkan kadar kejayaan rawatan Kesuburan In-Vitro daripada 30 peratus kepada 90 peratus.

Johan Poole-Johnson dalam ucapan alu-aluannya juga menyatakan perasaan gembira untuk bekerjasama dengan JPMC untuk membawakan teknologi genetik pra-implantasi canggih dari UK kepada pasangan IVF. Brunei Darussalam mempunyai potensi untuk menjadi hab pelancongan perubatan dan mereka berharap perkongsian itu akan mengukuhkan reputasi Brunei Darussalam dalam sektor pelancongan perubatan global.

Beliau berkata, pasangan yang berhasrat untuk mendapatkan prosedur IVF dan PGS di luar negara pasti harus mempertimbangkan suasana di Brunei Darussalam yang tenang dan lokasi hospital berdekatan dengan pantai untuk menjadikannya pilihan yang sesuai bagi mendapatkan rawatan IVF dan bercuti.

ARTIKEL YANG SAMA