JPMC, BNSRC anjur pementasan muzikal

JPMC, BNSRC anjur pementasan muzikal

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Okt – Tiket-tiket bagi menyaksikan pementasan drama muzikal bertajuk ‘Sebuah Perjalanan,’ yang merupakan sebahagian daripada program aktiviti berkumpulan terapeutik pesakit strok dan kanser, telah mula dijual di kaunter-kaunter Klinik Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC), FitnessZone, Bake Culture dan Energy Kitchen.

Pementasan anjuran Jabatan Pemulihan di Pusat Sains Neuro, Strok dan Pemulihan Brunei (BNSRC) dengan kerjasama JPMC ini akan diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, pada 1 November depan bersempena dengan Hari Strok Sedunia yang jatuh pada 29 Oktober setiap tahun.

Tiket-tiket dijual pada harga $25 bagi tempat duduk balkoni yang juga akan mendapat baju T direka khas dan ditandatangani oleh Wu Chun selaku duta acara; $15 bagi tempat duduk barisan depan; dan $10 bagi tempat duduk standard. Setiap pembelian tiket juga akan menerima pas masuk sehari ke FitnessZone secara percuma.

Wu Chun, yang merupakan pemilik, FitnessZone, Bake Culture dan Energy Kitchen, sebelum ini berkata bahawa, pencegahan adalah lebih daripada rawatan, dan dengan menyediakan pas percuma ke FitnessZone “kami mempromosikan gaya hidup sihat dan memberikan peluang kepada orang awam untuk mencuba sendiri keseronokan dan kelebihan gaya hidup sihat”.

Semua keuntungan daripada acara ini akan disumbangkan kepada Program Amal ALAF Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

Gambar ramai warga FitnessZone mempamerkan baju-T yang ditandatangani sendiri oleh Wu Chun.
Gambar ramai warga FitnessZone mempamerkan baju-T yang ditandatangani sendiri oleh Wu Chun.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPMC, pementasan muzikal ini diadakan setelah persembahan-persembahan Jabatan Pemulihan di BNSRC sebelum mendapat maklum balas dan hasil klinikal yang positif.

Ketua Jabatan Pemulihan di BNSRC, Vivian Tie Suk Kee berkata jalan cerita pementasan berkenaan telah ditulis oleh salah seorang pesakit strok berdasarkan kejadian sebenar bersama kakitangan jabatan tersebut.

Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai strok, ketidakupayaan berikutan strok, pemulihannya dan elemen-elemen penting bagi perjalanan pemulihan yang berjaya, menekankan kepentingan mendapatkan rawatan segera, tambahnya.

Objektif projek ini adalah untuk mewujudkan situasi dan persekitaran terbaik bagi membantu para pesakit mengatasi ketidakupayaan mereka menerusi pemulihan bermakna yang menghidupkan semula keyakinan mereka. Dalam pementasan itu nanti, muziknya akan disokong oleh Uniq Band dari Pusat Bahagi yang mempunyai masalah penglihatan serta ahli-ahli muzik dari Expression Music Academy.

ARTIKEL YANG SAMA