JPMC, CAE meterai MoU

JPMC, CAE meterai MoU

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Okt – Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) dan Pusat Latihan Pelbagai Guna (MPTC) CAE Brunei, hari ini, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memajukan lagi keupayaan latihan rawatan kesihatan di Negara Brunei Darussalam.

Pemeteraian MoU itu bermakna Brunei kini mampu mengadakan kursus latihan penjagaan kesihatan yang berupaya menarik penyertaan para pelajar tempatan dan dari luar negara.

Menandatangani bagi pihak CAE Brunei MPTC ialah Pengurus Besar CAE Brunei MPTC, Kevin Speed, manakala JPMC diwakili oleh Pengarah Eksekutif dan Pengarah Perubatan JPMC, Dato Dr. Isham Jaafar.

Hadir bagi menyaksikan majlis penandatanganan yang berlangsung di ibu pejabat CAE Brunei MPTC di Rimba itu ialah Presiden Kumpulan Pertahanan dan Sekuriti CAE, Gene Colabatistto serta Pengerusi JPMC, Dato Paduka Dr. Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Dalam ucapan alu-aluannya, Speed berkata, salah satu dasar penubuhan CAE Brunei MPTC adalah untuk menyumbang ke arah Wawasan 2035 Negara Brunei Darussalam dengan mewujudkan bidang pekerjaan berkualiti dan berteknologi tinggi serta mewujudkan kepelbagaian dalam peluang perniagaan bagi rakyat Brunei.

Dato Dr. Isham (dua dari kiri) dan Kevin Speed bertukar-tukar dokumen MoU.
Dato Dr. Isham (dua dari kiri) dan Kevin Speed bertukar-tukar dokumen MoU.

Pada masa sama juga, CAE Brunei MPTC melaksanakan keupayaan-keupayaan yang dapat menarik masyarakat Asia untuk mendapatkan latihan dan kursus berkualiti tinggi melalui kelengkapan dan kemudahan yang terdapat, dan perkongsian dengan JPMC pastinya dapat mempercepatkan CAE Brunei MPTC mencapai cita-cita itu.

“MPTC akan memperoleh manfaat sepenuhnya melalui perkongsian dengan JPMC berdasarkan reputasi dan kepakaran JPMC, sementara JPMC pula akan mendapat manfaat kemudahan peralatan bertaraf dunia serta keupayaan latihan simulasi penjagaan kesihatan terbaik di dunia yang disediakan oleh CAE Brunei MPTC,” katanya.

Menurutnya, CAE Brunei MPTC adalah untuk mewujudkan perkongsian strategik yang dapat mengembangkan lagi kursus dan latihan yang akan membantu keperluan latihan dan penjagaan kesihatan dan perubatan yang diperlukan oleh kakitangan JPMC serta latihan tempatan dan serantau yang ditetapkan oleh kerajaan.

Sebagai tambahan, ujarnya, kursus latihan itu akan memberi manfaat pembekal penjagaan kesihatan serta tenaga kerja perubatan di Kementerian Kesihatan, Perkhidmatan Perubatan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pusat Kesihatan Panaga Syarikat Minyak Brunei Shell dan organisasi perubatan tempatan dan serantau yang lain.

Perkongsian strategik antara CAE Brunei MPTX dan JPMC bermula dengan pusat perubatan itu mengadakan kursus latihan pertolongan cemas di MPTC yang selaras dengan matlamat MPTC untuk mengembangkan portfolio kursusnya dengan kursus-kursus rawatan lanjutan yang sesuai bagi kedua-dua organisasi itu.

Kursus berkenaan diyakini dapat membantu kurikulum latihan pengurusan kecemasan yang sedang dirangka oleh MPTC bagi Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan.

ARTIKEL YANG SAMA