JPMC hulur sumbangan kepada BDNAB

JPMC hulur sumbangan kepada BDNAB

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNAB) hari ini menerima sumbangan derma berjumlah $3,156.72 daripada Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) yang dikumpulkan melalui kegiatan amal semasa Hari Keluarga Amal JPMC di Pantai Tarindak, Royal Brunei Polo & Riding Club, Jerudong pada 29 Mei lalu.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengarah Kejururawatan JPMC, Chung Yea Fui kepada Yang Di-Pertua BDNAB, Awang Jamary bin Awang Danggat dalam satu majlis yang diadakan di JPMC, Jerudong, hari ini.

Awang Jamary dalam temu bual ringkas bersama Media Permata di majlis berkenaan telah menyatakan penghargaan atas sumbangan yang disampaikan dan sokongan berterusan JPMC kepada program dan projek yang dilaksanakan oleh persatuan itu.

Beliau menjelaskan bahawa sumbangan itu digunakan untuk mengendalikan pelbagai program dan projek dalam meningkatkan kemahiran para ahli persatuan termasuk mengendalikan kelas kemahiran seperti kelas braille.

Beliau juga berkata bahawa persatuan itu mempunyai seramai 77 orang ahli dan pada masa ini, terdapat perancangan untuk melaksanakan projek terbaru bagi persatuan itu yang akan diumumkan dalam masa yang terdekat.

Chung Yea Fui menyampaikan sumbangan derma berjumlah $3,156.72 kepada Awang Jamary.
Chung Yea Fui menyampaikan sumbangan derma berjumlah $3,156.72 kepada Awang Jamary.
Chung Yea Fui menyampaikan sijil penghargaan kepada para ahli-ahli jawatankuasa hari keluarga amal itu.
Chung Yea Fui menyampaikan sijil penghargaan kepada para ahli-ahli jawatankuasa hari keluarga amal itu.
Chung Yea Fui dan Awang Jamary bergambar ramai dengan ahli-ahli jawatankuasa hari keluarga amal dan wakil-wakil penaja acara itu.
Chung Yea Fui dan Awang Jamary bergambar ramai dengan ahli-ahli jawatankuasa hari keluarga amal dan wakil-wakil penaja acara itu.

Sementara itu, Chung Yea Fui berkata bahawa acara amal yang dikendalikan pada Mei lalu itu dihasratkan untuk menunjukkan penghargaan kepada kakitangan dan keluarga JPMC atas sokongan berterusan mereka dan juga untuk menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat selaras dengan tema sambutan Hari Jururawat Antarabangsa iaitu ‘Menjadi Satu Kuasa bagi Perubahan.’

Kegiatan amal yang diadakan bersempena dengan Hari Jururawat Sedunia yang diraikan pada 12 Mei setiap tahun itu merupakan salah satu kegiatan di bawah program tanggungjawab sosial korporat JPMC di mana ia diharap akan mengukuhkan lagi rasa kekeluargaan dan kemasyarakatan yang wujud di antara JPMC dan kakitangannya kepada masyarakat.

Sumbangan derma itu merupakan hasil kutipan daripada yuran masuk dan yuran bagi pelbagai kegiatan serta juga sumbangan derma daripada orang ramai semasa acara kebajikan itu.