JPMC kenalkan perkhidmatan Kesihatan Pekerjaan

JPMC kenalkan perkhidmatan Kesihatan Pekerjaan

Oleh Imelda Farrah Zohre HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jun – Jerudong Park Medical Centre (JPMC) kini memperkenalkan perkhidmatan Kesihatan Pekerjaan yang komprehensif sebagai tambahan kepada Pemeriksaan Kesihatan Umum, di Bahagian Pesakit Luar, JPMC.

Perkhidmatan baru ini diumumkan dalam sidang media yang berlangsung di JPMC, hari ini, oleh Pegawai Perubatan Kesihatan Pekerjaan, Dr. Nyake Balalla dan Ketua Pemasaran JPMC, Awangku Danny bin Pengiran Tajuddin, serta dihadiri sama Pentadbir Hospital JPMC, Chris Carvalho.

Awangku Danny menjelaskan perkhidmatan baru ini diperkenalkan untuk menilai, menasihati dan mengurangkan penyakit berkaitan pekerjaan, dan termasuk pengawasan kesihatan pekerjaan berkanun berkaitan mengikut prospek pekerjaan.

Selain itu, menawarkan perkhidmatan klinikal perubatan pekerjaan bagi pengurusan pekerja yang mengalami kecederaan dan penyakit berkaitan pekerjaan dan tempat kerja, program vaksinasi pekerjaan, penilaian risiko tempat kerja, audit, keselamatan pekerjaan onsit atau in-house dan latihan kesihatan bagi kakitangan, khidmat nasihat kesihatan pelancongan dan banyak lagi.

“Kami juga menyediakan program latihan baru bagi pertolongan cemas,” tambah beliau.

(Dari kiri-kanan) Chris, Ak Danny dan Dr Balalla semasa sidang media tersebut.
(Dari kiri-kanan) Chris, Ak Danny dan Dr Balalla semasa sidang media tersebut.

Perkhidmatan ini ditawarkan untuk pekerja-pekerja di Brunei, termasuk mereka yang terlibat dalam pembinaan, industri minyak dan gas, pembuatan, sektor perkhidmatan, pengangkutan, kewangan dan perniagaan.

Dalam pada itu, Dr. Balalla berkata seramai 2.34 juta pekerja meninggal dunia setiap tahun di seluruh dunia disebabkan kecederaan di tempat kerja dan penyakit pekerjaan.

“Sebanyak 14 peratus daripadanya disebabkan oleh kecederaan dan 84 peratus disebabkan oleh penyakit-penyakit yang berhubung kait dengan pekerjaan, menurut ILO (2013),” tambahnya.

Menurut beliau lagi, penyakit berkaitan dengan pekerjaan kurang diberi perhatian berbanding kemalangan dan kecederaan di tempat kerja kerana kurangnya kesedaran, kurang diagnosis dan penyakit-penyakit berkaitan pekerjaan jarang dilaporkan.

JPMC dalam kenyataannya menjelaskan, perkhidmatan Kesihatan Pekerjaan komprehensif diperkenalkan untuk mengurangkan dan mencegah penyakit-penyakit berkaitan dengan pekerjaan individu tersebut.

Ini boleh dilaksanakan pada pengesanan awal melalui proses-proses pemeriksaan kesihatan berdasarkan siasatan aktiviti-aktiviti jawatan pekerja, pekerjaan atau bahaya tertentu dan perkhidmatan konsultasi dengan seorang doktor kesihatan pekerjaan yang berkelayakan dan berpengalaman.

Dengan itu, JPMC boleh membantu para majikan dalam mengekalkan tenaga kerja yang sihat dan produktif serta suasana kerja yang selamat di tempat kerja mereka.

Untuk mendapatkan perjanjian dan keterangan lebih lanjut bolehlah menghubungi Bahagian Pesakit Luar JPMC di talian 2611433 sambungan 2239 / 2270 atau e-mel kepada marketing@jpmc.com.bn.

ARTIKEL YANG SAMA