JPMC kongsi m...

JPMC kongsi maklumat kehamilan sihat

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Bahiyah Bakir

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mac – Sejajar dengan Hari Wanita Antarabangsa, Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) dengan kerjasama StemLife Berhad dari Malaysia telah mengadakan forum bertajuk ‘Journey to a Health Pregnancy’ yang berlangsung di Dewan Indera Kayangan, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong, di sini, petang tadi.

Kira-kira 150 orang menghadiri forum berkenaan yang dibukakan kepada pasangan suami isteri, ibu-ibu dan bakal ibu-ibu.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Siti Khadijah Ismail berkata, kesihatan kehamilan tidak terhenti selepas anak damit dilahirkan.

“Memberikan sokongan kesihatan mental selepas kehamilan adalah sangat penting untuk ibu-ibu,” ujarnya.

Beliau juga menekankan kepentingan mengambil berat pemakanan sihat yang seimbang, senaman sederhana setiap hari dan menjaga kesihatan emosi semasa proses kehamilan.

Dr Siti Khadijah menyampaikan ceramah beliau pada forum ‘Journey to a Health Pregnancy’ anjuran JPMC kelmarin.
Dr Siti Khadijah menyampaikan ceramah beliau pada forum ‘Journey to a Health Pregnancy’ anjuran JPMC kelmarin.
Antara mereka yang hadir pada forum berkenaan.
Antara mereka yang hadir pada forum berkenaan.

Forum tersebut juga mendengarkan perbincangan panel oleh ibu-ibu dan pakar laktasi JPMC yang memberikan peluang kepada para peserta untuk melibatkan diri dalam perbincangan interaktif tentang bagaimana menjaga diri mereka dan anak damit sepanjang tempoh kehamilan dan seterusnya.

Juga hadir semasa forum tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif dari StemLife Berhad, Sophian Abdul Rahman.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, JPMC telah menubuhkan perkongsian kolaborasi dengan StemLife Berhad sejak September tahun lalu, yang mana syarikat dari Malaysia itu menyediakan perkhidmatan pengurusan sel tunjang darah dan tisu tali pusat, yang termasuk pengumpulan, pengangkutan, pemprosesan dan krioawetan, di Negara Brunei Darussalam.

Sophian dipetik sebagai berkata, “sebagai organisasi penjagaan kesihatan yang memfokuskan ke atas keperluan ibu dan anak, kami gembira untuk menyokong JPMC dalam forum yang bermakna ini.

“Selain daripada manfaat berpotensi menyelamatkan sel tunjang anak berkenaan, kami percaya bahawa pemeriksaan anak tersebut bagi kemungkinan masalah metabolisme semula jadi akan memberikan ketenangan minda kepada ibu-ibu. Kami gembira untuk berkongsi pengalaman kami mengenai kedua-duanya di forum ini,” tambah beliau.