JPMC, StemLife meterai MoU

JPMC, StemLife meterai MoU

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC), baru-baru ini, menubuhkan usaha sama dengan StemLife Berhad dan penandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara kedua-dua belah pihak telah diadakan hari ini di Bilik CME, JPMC.

Menandatangani MoU bagi pihak JPMC ialah Pengarah Eksekutif dan Pengarah Perubatan JPMC, Dato Paduka Dr. Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar manakala itu, StemLife Berhad diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Awang Sophian bin Abdul Rahman dengan disaksikan oleh pengurus kanan dan kakitangan JPMC dan StemLife Berhad.

Penandatangan MoU ini bermatlamat untuk menyediakan perkhidmatan pengumpulan, pengangkutan dan krioawetan (cryopreservation) sel tunjang darah dan tisu tali pusat yang komprehensif di negara ini.

Selepas majlis penandatanganan itu, sidang media diadakan di sebelah petang yang dihadiri oleh Ketua dan Konsultan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi dan Unit Perubatan Reproduktif, JPMC, Dr. Chitra Karat; Ketua dan Konsultan Kanan Jabatan Pediatrik, Dr. Joel Isaiah; Eksekutif Pemasaran JPMC, Dayang Aini Zulfa binti Haji Asbinin; Awang Sophian dan Ketua Pegawai Operasi StemLife Berhad, Zahrein Mohamad Redza.

(Dari Kiri-Kanan) Zahrein Mohamad Redza, Dr. Joel Isaiah, Awang Sophian, Dr. Chitra Karat dan Dayang Aini Zulfa semasa sidang media.
(Dari Kiri-Kanan) Zahrein Mohamad Redza, Dr. Joel Isaiah, Awang Sophian, Dr. Chitra Karat dan Dayang Aini Zulfa semasa sidang media.
Penandatangan MoU antara JPMC dan StemLife Berhad bagi Perkhidmatan Penyimpanan Sel Tunjang di negara ini.
Penandatangan MoU antara JPMC dan StemLife Berhad bagi Perkhidmatan Penyimpanan Sel Tunjang di negara ini.

Usaha sama di antara dua buah syarikat berkenaan membolehkan ibu bapa menyimpan darah dan tisu tali pusat anak damit mereka yang diambil ketika dilahirkan.

“Dengan menyimpan darah dan tisu tali pusat, JPMC dan StemLife Berhad boleh mengekalkan sel-sel tersebut bersama mereka yang berpotensi dikekalkan bagi jangka masa seumur hidup.

“Sel-sel tunjang diekstrak daripada darah dan tisu tali pusat boleh digunakan untuk rawatan pelbagai masalah kesihatan anak damit berkenaan dan saudara terdekat,” jelas Dr. Chitra Karat sambil menambah, simpan sekarang untuk manfaat masa hadapan.

ARTIKEL YANG SAMA