JPNIN promosi integrasi nasional melalui ekonomi

JPNIN promosi integrasi nasional melalui ekonomi

KOTA KINABALU, 3 Mei (Bernama) – Sebelas belia dari kawasan pedalaman Sabah, khususnya kawasan Pensiangan, berlepas ke Semenanjung hari ini bagi mengikuti kursus pelbagai kemahiran pertanian di Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak, bagi menimba kemahiran dan pengalaman dalam bidang berkenaan.

Program percuma selama enam hingga dua tahun anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan kerjasama Institut Agro Usahawan (iGROW) berkenaan merupakan satu daripada strategi kerajaan untuk mempromosikan semangat integrasi dan perpaduan nasional antara Semenanjung dan Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup serta ibu bapa pelatih berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bagi mengucapkan selamat jalan kepada pelatih berkenaan.

Sebelas pelatih ini adalah kumpulan kedua berlepas ke Perak selepas kumpulan pertama seramai 18 orang berlepas pada Februari lalu.

“Saya galak mereka (menyertai program) ini kerana ia adalah satu pendekatan kerajaan melalui JPNIN untuk mempromosikan budaya kita di Semenanjung dan bagi anak-anak kita di Sabah (memahami budaya di sana). Ini bererti melalui ekonomi kita mempromosikan integrasi dan perpaduan nasional,” kata Kurup kepada pemberita di KKIA.

Terdahulu dalam ucapannya, Kurup menasihatkan semua peserta memanfaatkan sepenuhnya peluang kursus berkenaan untuk menimba kemahiran, ilmu pengetahuan dan pengalaman, untuk mereka praktikkan apabila kembali ke Sabah kelak.

Sambil mengakui cabaran emosi dan budaya yang terpaksa dilalui oleh peserta, seperti yang pernah dilaluinya sendiri ketika menuntut di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara), Kurup berkata pelatih perlu menguatkan semangat dan berazam menamatkan pengajian sebaik-baiknya.

Katanya pelatih tidak seharusnya berhenti separuh jalan semata-mata rindu keluarga dan kembali ke Sabah kerana ia bukan sahaja menghampakan ibu bapa masing-masing tetapi merugikan masa depan mereka sendiri.