JPNS diminta ambil perhatian kedaifan kemudahan asrama

JPNS diminta ambil perhatian kedaifan kemudahan asrama

SANDAKAN, 5 Jan (Bernama) – Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Telupid mahu Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) mengambil perhatian terhadap masalah kedaifan asrama di sekolah itu.

Pengerusinya Ibrahim Masdik berkata kemudahan di asrama sekolah iaitu katil, tilam dan almari dalam keadaan daif yang memerlukan tindakan segera untuk diganti baharu.

“Gambar yang diviral di laman sosial facebook berhubung kedaifan katil dan tilam di asrama SMK Telupid adalah benar,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyangkal kenyataan Pengarah JPNS Datuk Jame Alip yang menafikan kedaifan membabitkan kemudahan di asrama SMK Telupid.

Jame dipetik berkata tilam dan katil dalam gambar yang diviralkan itu adalah untuk tujuan dilupuskan dan bukannya untuk digunakan oleh pelajar yang ditempatkan di asrama tersebut.

Ibrahim mahu JPNS mengambil langkah segera menyediakan kemudahan diperlukan demi keselesaan pelajar yang ditempatkan di asrama berkenaan.

Katanya permohonan mendapatkan katil, tilam, almari dan kerusi untuk SMK Telupid telah diserahkan kepada JPNS pada 2013 dan Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2014.

Menurutnya permohonan itu membabitkan katil dua tingkat sebanyak 100 buah, tilam (200), almari (400) dan kerusi (500 buah) tetapi sehingga kini masih tiada maklum balas diterima.

Beliau berkata masalah itu juga dikemukakan kepada Datuk Mary Yap yang pada ketika itu adalah Timbalan Menteri Pendidikan, semasa melawat sekolah berkenaan pada 2013.