JSA sasar 10 emas di Olimpik Rio

JSA sasar 10 emas di Olimpik Rio

TOKYO, 6 Nov (Agensi) – Agensi Sukan Jepun (JSA) yang baru dibentuk sudah menetapkan matlamat bagi prestasi memberangsangkan para atlet Negara itu di Sukan Olimpik Rio de Janeiro dan Tokyo.

Diketuai oleh pemenang pingat emas acara renang di Olimpik Seoul, Daichi Suzuki, agensi kerajaan itu menyasarkan sekurang-kurangnya 10 pingat emas pada Olimpik Rio tahun depan dan minimum 20 pada Olimpik Tokyo pada 2020.

Jepun memenangi tujuh pingat emas pada Olimpik London 2012. JSA berpendapat bahawa 20 pingat emas di Olimpik Tokyo akan meletakkan Jepun di tempat ketiga dalam kedudukan keseluruhan pungutan pingat.

“Salah satu sebab kami menetapkan matlamat ini ialah apabila para atlet teratas mencatatkan kejayaan, mereka dapat menjadi inspirasi untuk turut terbabit dalam sukan,” kata Suzuki. “Ia mewujudkan pusingan yang bermanfaat.”

JSA ditubuhkan pada 1 Oktober lepas dengan matlamat meningkatkan persaingan antarabangsa Jepun sekali gus memantapkan sokongan atlet ke atas Olimpik Tokyo.

Agensi tersebut juga diberi tanggungjawab menambahbaikkan kesihatan warga jepun melalui kegiatan sukan, menaikkan status antarabangsa Jepun sekali gus merangsang ekonomi dan kawasan pedalaman.

Agensi sukan itu akan mempunyai kira-kira 20 staf dan membabitkan lima divisyen.

Suzuki yang berusia 48 tahun sebelum ini berkhidmat sebagai presiden Persatuan Bekas Atlet Olimpik, pengerusi Persatuan Renang Jepun, lembaga pengarah eksekutif Jawatankuasa Olimpik Jepun dan profesor di Universiti Juntendo.

ARTIKEL YANG SAMA