JSKLL catat 232 kes kemalangan

JSKLL catat 232 kes kemalangan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Sebanyak 232 kes kemalangan jalan raya telah dilaporkan oleh Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei dalam bulan Januari 2016.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 157 kes dicatatkan di Daerah Brunei dan Muara, 26 di Daerah Tutong, 47 di Daerah Belait dan dua lagi kes di Daerah Temburong.

Bagaimanapun, tiada kemalangan melibatkan kematian dilaporkan.

Sementara itu, JSKLL dalam kenyataannya hari ini, turut melaporkan sebanyak 903 kes atas pelbagai kesalahan lalu lintas yang didapati menerusi 70 operasi penguatkuasaan lalu lintas.

Sebanyak 854 kes direkodkan oleh JSKLL Gadong menerusi 58 operasi dan JSKLL cawangan Batu 3, Belait, mencatatkan 49 kes dengan 12 operasi.

Daripada jumlah itu juga, sebanyak 172 adalah kes doket dan 731 kes kompaun, dengan kes paling tinggi dicatatkan adalah kesalahan memandu melebihi had laju yang ditetapkan (kelajuan paling tinggi adalah 158/100kmh) sebanyak 197 kes diikuti dengan cukai jalan tamat tempoh sebanyak 97 kes dan meletakkan kenderaan di tempat yang bukan dikhaskan sebanyak 84 kes.

Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei sekali lagi menekankan kepada para pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas di negara ini serta sentiasa meningkatkan keselamatan dan berhati-hati ketika berada di jalan raya terutamanya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati serta berwaspada dan mematuhi peraturan lalu lintas yang dikuatkuasakan bagi memastikan kemalangan dapat dielakkan.

ARTIKEL YANG SAMA