Juadah Aidilfitri eratkan tali kekeluargaan

Juadah Aidilfitri eratkan tali kekeluargaan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Julai – Hidangan Hari Raya sememangnya lain daripada hidangan biasa, kerana pada hari istimewa itu, ketupat, rendang, kari dan lemang merupakan juadah lumrah yang perlu ada di atas meja setiap keluarga.

Di sini, hidangan itu sudah pun ada turun-temurun pada hari raya pertama dan ada kalanya dilaratkan sehingga hari raya kelima. Persediaannya pula dibuat awal pagi lagi pada 1 Syawal kerana pada hari itu, seluruh keluarga berkumpul untuk makan bersama selepas sembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri.

Di rumah keluarga Dayang Hasnah Haji Suhili atau lebih dikenali dengan panggilan Mabasar, 70, juga tidak ketinggalan membuat persiapan rapi bagi hidangan pagi raya. Menurutnya, memasak juadah untuk hidangan pagi raya sememangnya sudah menjadi tradisi turun-temurun keluarganya, keluarga Haji Sulung.

“Kami bergotong-royong dari kecil lagi membantu emak memasak, tradisi itu bermula sejak lama lagi dan pada ketika itu, peralatan memasak belum secanggih sekarang, hanya menggunakan kayu api untuk memasak dan masa memasak pula agak lama,” katanya.

Dayang Hasnah atau lebih dikenali sebagai Mabasar bersama adik beliau.
Dayang Hasnah atau lebih dikenali sebagai Mabasar bersama adik beliau.
Mabasar bergambar kenangan bersama para tetamu yang mengunjungi kediaman beliau sempena Hari Raya Aidilfitri.
Mabasar bergambar kenangan bersama para tetamu yang mengunjungi kediaman beliau sempena Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya lagi, sehingga kini tradisi memasak bergotong-royong di malam raya sehinggalah beberapa hari raya masih dikekalkan keluarganya.

Masakan tradisi ini seperti ketupat, lemang, rendang dan pelbagai lagi tambah mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan mereka.

Hidangan lain yang turut menjadi pilihan Dayang Hasnah sekeluarga adalah lontong, sate dan pelbagai jenis kuih muih tradisi negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA