Juadah ala Arab di Restoran Serikandi

Juadah ala Arab di Restoran Serikandi

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 15 Jun – Sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini, umat Islam berebut-rebut mengambil peluang untuk melakukan amalan berkebajikan, selain menghulurkan bantuan kepada masyarakat memerlukan, menyumbang derma kepada anak-anak yatim dan sebagainya, tetapi dalam perniagaan turut dimuatkan dengan amalan sambil bersedekah.

Itulah yang diamalkan oleh Syarikat Serikandi Sdn Bhd, melalui Restoran dan Kafe Serikandi mereka yang membuat tawaran istimewa sepanjang bulan Ramadan ini, selain menyediakan menu juadah berbuka puasa yang sangat menyelerakan dengan penampilan masakan ala Arab, yang tidak terdapat di restoran lain di daerah ini.

Juadah yang sudah terkenal sejak mulanya Serikandi dikenali ramai masyarakat setempat, daging rendang menjadi menu utama yang tidak boleh ditinggalkan dalam hidangan berbuka puasa di restoran tersebut.

Selain turut popular ialah Rojak Serikandi, yang sama dengan rojak Singapura, serta menu lainnya termasuk Sup Tulang, Ayam Panggang, Nasi Mandi (gabungan Beriani Kambing dan Ayam) juga masakan ala Arab, Kari Ikan, Ikan Kukus, sayur kampung, sayur-sayuran, dan banyak lagi.

Pelanggan yang datang ke Restoran dan Kafe Serikandi untuk berbuka puasa di sepanjang bulan Ramadan.
Pelanggan yang datang ke Restoran dan Kafe Serikandi untuk berbuka puasa di sepanjang bulan Ramadan.

Restoran dan Kafe Serikandi turut memberikan banyak pilihan dengan membahagikan hidangan kepada beberapa bahagian stesen, termasuklah stesen Ambuyat yang menyediakan hidangan sayur kampung, ikan rebus, daging urat dan sebagainya, stesen Kebab Shawarma dan tidak ketinggalan berbagai-bagai jenis minuman daripada cendol, minuman jus buah-buahan dan minuman panas, di samping kek dan kuih-muih sebagai pencuci mulut.

Minggu ini, Restoran dan Kafe Serikandi telah memberikan tawaran istimewa dengan memberikan potongan harga 10 peratus kepada setiap seorang yang bersungkai di sana. Sebelum ini, pada awal Ramadan, promosi mereka memberikan potongan harga 10 peratus kepada setiap kumpulan seramai tujuh orang yang datang.

Pengurus Operasi Restoran dan Kafe Serikandi, Imteyaz Ahmad, memberitahu Media Permata hari ini, promosi-promosi tersebut dihasratkan untuk memberikan peluang dan kemudahan kepada orang ramai terutama umat Islam datang berbuka puasa di restoran mereka bersama sekeluarga, dengan harga juadah yang berpatutan, selain merupakan salah satu konsep melakukan amal berkebajikan mereka melalui perniagaan.

ARTIKEL YANG SAMA