Jual helang dalam Facebook

Jual helang dalam Facebook

JAKARTA, 8 Julai (AFP) – Polis Indonesia yang menyamar sebagai pembeli hidupan liar telah menangkap seorang suspek yang menjual helang dilindungi menerusi Facebook, menurut pegawai hari ini.

Bertindak hasil daripada maklumat orang ramai, pihak berkuasa di bandar kedua terbesar Indonesia, Surabaya, menyerbu kediaman lelaki tersebut pada Isnin lalu, dan menemui sebanyak 14 ekor helang dalam kurungan dan kotak kadbod, menurut jurucakap pasukan polis wilayah, Argo Yuwono kepada AFP.

Di antara pelbagai spesies itu adalah termasuk burung lang laut atau siput (white-bellied sea eagles) dan helang falko bintik (spotted kestrels), serta lima lagi anak helang, kata Yuwono.

“Sebelum menangkapnya, kami menyamar dan bertindak sebagai pembeli untuk mengesahkan dia menjual burung-burung itu dalam Facebook,” katanya.

“Burung helang merupakan haiwan yang dilindungi di Indonesia. Menjual burung-burung ini adalah salah di sisi undang-undang dan merupakan satu jenayah yang serius.”

Lelaki Indonesia diapit dua anggota polis dilihat di hadapan kurungan helang semasa serbuan ke atas suspek yang menjual helang dalam Facebook di bandar Surabaya. – AFP
Lelaki Indonesia diapit dua anggota polis dilihat di hadapan kurungan helang semasa serbuan ke atas suspek yang menjual helang dalam Facebook di bandar Surabaya. – AFP

Ia adalah kes pertama yang diketahui berlaku di Indonesia yang telah dijual melalui laman sesawang sosial yang popular, menurut jurucakap.

Polis mendakwa lelaki itu telah menjalankan operasi onlinenya selama enam bulan, menjual anak helang pada harga 750,000 rupiah ($56) dan burung dewasa sekitar lima juta rupiah setiap seekor. Yuwono menambah, empat ekor anak helang telah mati akibat penyakit, namun burung lain telah dihantar ke pejabat pemuliharaan sumber hidupan asli Indonesia, yang mengendalikan kes perdagangan hidupan liar.

Jika didapati bersalah memiliki dan menjual haiwan dilindungi itu, pelakunya boleh berdepan lima tahun penjara dan denda 100 juta rupiah.

Polis Indonesia pada Mei menangkap seorang suspek penyeludup haiwan liar selepas menemui hampir berpuluh burung hidup, kebanyakannya burung kakaktua jambul kuning (yellow-crested cockatoo), yang disumbat hidup-hidup dalam botol air plastik dalam bagasinya.

ARTIKEL YANG SAMA