Jual lukisan SG$60,000

Jual lukisan SG$60,000

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Okt – Potret mendiang mantan Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew membawa tuah kepada seorang pelukis tanah air, Huifong Ng apabila ia dibeli dengan harga SG$60,000 oleh seorang pembeli Hong Kong melalui jualan amal dalam Majlis Makan Malam Amal anjuran EtonHouse di Grand Ballroom, Grand Copthorne Waterfront Hotel, Singapura baru-baru ini.

Menurut Huifong, lukisan yang memaparkan wajah mendiang Lee Kuan Yew itu dibeli oleh seorang pembeli dari Hong Kong dalam majlis sempena menyambut ulang tahun ke-20 EtonHouse itu.

Ia dipaparkan di dalam laman Facebooknya selepas sentuhan terakhir ke atas lukisan sempena ulang tahun ke-91 mendiang Lee Kuan Yew yang memakai dua lapisan kemeja dengan lehernya berbentuk hati manakala butang bajunya merupakan lambang bendera Singapura, menandakan Singapura selamanya di hati mendiang, katanya ketika berucap di majlis itu.

Lukisan itu kemudiannya mendapat perhatian ramai warga Singapura dan pernah dipamerkan di Pameran Lukisan Itali pada Mei tahun ini. Meskipun warga Itali tidak mengenali mendiang Lee Kuan Yew, namun mereka mengenali Singapura dan sukakan potretnya yang mencetuskan aura kebapaan dan seorang lelaki yang hebat.

Huifong Ng (kiri) yang melukis potret Tuan Lee Kuan Yew dan dibeli dengan harga SG$60,000 bergambar bersama Pengerusi EtonHouse Group of Education, Jimmy Oh di Majlis Makan Malam Amal di Singapura baru-baru ini.
Huifong Ng (kiri) yang melukis potret Tuan Lee Kuan Yew dan dibeli dengan harga SG$60,000 bergambar bersama Pengerusi EtonHouse Group of Education, Jimmy Oh di Majlis Makan Malam Amal di Singapura baru-baru ini.

Apabila ditanya di laman Facebooknya mengapa beliau suka melukis mendiang Lee sedangkan beliau adalah warganegara Brunei, Huifong menjelaskan bapanya merupakan pendorong utama.

Bapanya adalah peminat tegar mendiang Lee kerana wawasan mantan pemimpin itu yang membina sebuah negara kecil menjadi sebuah negara yang maju jaya. Daripada cerita-cerita mengagumkan oleh bapanya, Huifong mula menyukai mantan pemimpin itu dan akhirnya bercadang mengabadikan pemimpin agung itu dalam kanvas lukisannya.

Menurut Huifong, hasil lukisan itu disumbangkan kepada badan amal pendidikan EtonHouse yang mendedikasikannya untuk membina generasi baru Singapura yang lebih baik.