Jualan amal dapat sambutan menggalakkan

Jualan amal dapat sambutan menggalakkan

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 April – Jualan Bazar Amal ‘1 Baju 1 Senyuman’ yang dijadualkan selama empat hari sehingga 7 April namun dilanjutkan sehingga hari ini, telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai.

Usahawan muda dari Battle Pro Marketing & Management Services, Haji Syed Mohd Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah semasa ditemu bual berkata, setakat 7 April lalu, mereka telah memperoleh 300 pasang baju, dan kelmarin, mereka menerima lebih 500 pasang baju untuk didermakan kepada anak-anak yatim di Negara Brunei Darussalam.

Selain daripada menempah baju atau kain, ada juga yang mewakaf kain untuk anak-anak yatim semasa jualan itu, tambahnya lagi.

Jualan bazar amal yang diadakan di Dewan Muhibbah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara itu merupakan yang pertama seumpamanya di negara ini dan telah dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta tempatan, Syarikat Battle Pro Marketing & Management Services dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Turut serta dalam menempah jahitan baju bagi menjayakan projek tersebut ialah warga Syarikat Dayang Limah dan Anak-anak.
Turut serta dalam menempah jahitan baju bagi menjayakan projek tersebut ialah warga Syarikat Dayang Limah dan Anak-anak.

Ikut serta dalam menempah jahitan baju bagi menjayakan projek tersebut ialah Syarikat Dayang Limah dan Anak-anak yang mana syarikat tersebut juga menempah kain dan membuat ukuran baju dengan harga $17 untuk baju Melayu dan $20 untuk baju kurung.

Haji Syed Mohd Yassin berkata, antara tujuan jualan berkenaan adalah untuk membantu anak-anak yatim dalam membuat baju baru mereka sebagai persediaan awal menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti, dan projek amal ini mungkin akan dilaratkan pada masa akan datang, tertakluk dengan tajaan-tajaan daripada mana-mana syarikat.

Selain menjalankan projek amal ‘1 Baju 1 Senyuman’ ini, Bazar Amal yang diadakan buat kali ketiga itu juga diadakan untuk mengutip dana bagi tabung amal Jabatan Daerah Brunei dan Muara yang mana 20 peratus daripada hasil sewaan jualan tersebut akan diberikan kepada tabung berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA