Jualan amal di Pantai Muara

Jualan amal di Pantai Muara

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mac – Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung Kiulap dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara akan mengendalikan Jualan Bazar Amal Pesta Pantai Muara sempena Cuti-Cuti Sekolah pada 31 Mac hingga 3 April 2016 ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, jualan bazar yang turut dimeriahkan dengan acara sukan ria itu diadakan bagi mendapatkan sumbangan untuk disalurkan kepada anak-anak yatim khasnya yang bermastautin di Kampung Kiulap.

Pembukaan rasmi jualan bazar itu nanti akan diadakan pada 1 April, pukul 2 petang hingga 3 petang manakala itu, acara penutupan rasminya pula akan diadakan pada 3 April yang diselajurkan dengan acara penyampaian hadiah dan derma kepada anak-anak yatim.

Antara objektif acara itu diadakan adalah bagi menggalakkan dan memupuk masyarakat Brunei untuk melakukan kerja-kerja amal dengan harapan agar trend ini dapat diperkukuhkan dan dipertingkatkan sehingga menjadi masyarakat yang prihatin dan matang.

Tujuannya pula adalah untuk memberikan bantuan berupa wang kepada golongan anak-anak yatim serta orang yang kurang berkemampuan yang diharap sedikit sebanyak dapat membantu mereka dalam persiapan perbelanjaan persekolahan dan harian.

Selain itu, ia juga memberi peluang kepada peniaga-peniaga kecil dan sederhana untuk berniaga sambil beramal, mengeratkan hubungan silaturahim di antara ahli-ahli jawatankuasa kampung dengan pihak jabatan-jabatan kerajaan, sekolah, persatuan-persatuan dan orang ramai.

ARTIKEL YANG SAMA