Jualan Amal MPM Keriam dirasmikan

Oleh Normazlina M.D & Nurdiyanah R.

 

TUTONG, 12 Jan – Bagi memberi peluang kepada masyarakat tempatan menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan dan sebagai pembuka tirai 2018, Majlis Perundingan Mukim(MPM) Keriam Tutong telah mengadakan Jualan Amal 2018 yang bermula hari ini sehingga 14 Januari ini di Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan jualan amal tersebut ialah Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain.

Seramai 25 orang peserta yang terdiri daripada usahawan kecil tempatan ikut serta dalam acara tiga hari berkenaan yang dibuka dari jam 8 pagi hingga 9 malam.

Awang Shamsul Bahrin selaku tetamu kehormat merasmikan Jualan Amal 2018 di Dewan Seri Kenangan, Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong, kelmarin.

Jualan tersebut juga akan dimeriahkan lagi dengan pameran kereta antik, pameran motosikal berkuasa tinggi, uji bakat menggunakan alat-alat muzik seperti seruling, harmonika dan gambus yang diadakan pada sebelah malam dan pertandingan melukis bagi orang dewasa secara spontan pada 14 Januari di Dewan Seri Kenangan, Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.

Acara tersebut akan dimeriahkan lagi dengan aktiviti riadah berbasikal yang dikendalikan oleh Pasukan Kayuhan Sembatang pada 14 Januari. Kayuhan tersebut dibukakan secara percuma kepada peminat-peminat basikal bagi memeriahkan lagi suasana aktiviti riadah tersebut.