Jualan amal SMARTER 20, 21 Ogos ini

Jualan amal SMARTER 20, 21 Ogos ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – SMARTER Brunei akan menganjurkan Jualan Garaj Amal ke-5 pada 20 dan 21 Ogos depan di kawasan letak kereta Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja, di sini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan SMARTER Brunei, jualan garaj ini dianjurkan dengan kerjasama Politeknik Brunei dan Maybank Brunei yang baru-baru ini telah melancarkan kempen sumbangan dinamakan ‘Recycle Reuse Reach-out with SMARTER Brunei’ sebagai sebahagian daripada acara Hari Tanggungjawab Korporat (CR) Global Maybank Brunei.

Acara yang akan diadakan dari pukul 8 pagi hingga 8 malam pada 20 Ogos dan 7 pagi hingga 6 petang pada 21 Ogos itu merupakan satu lagi aktiviti mengutip dana yang dimulakan oleh SMARTER Brunei sebagai cara mereka untuk menjana pendapatan sendiri.

Dengan itu, menurut SMARTER Brunei lagi, mereka akan dapat memberikan perkhidmatan berkualiti yang berterusan kepada semua 120 individu autisme yang berdaftar dan keluarga mereka dari tiga buah pusat iaitu Pusat EDGE Austime di Mata-Mata, Pusat EDGE Autisme di Kuala Belait dan Pusat Autisme Brunei bagi Orang Dewasa di Jangsak.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin memberikan bantuan bolehlah menyumbangkan barangan terpakai seperti pakaian, barangan rumah dan elektrik, perabot, peralatan sekolah dan pejabat, aksesori, kasut, beg dan sebagainya yang boleh dijual semula kepada orang ramai.

Malai Haji Abdullah menunjukkan poster jualan amal berkenaan.
Malai Haji Abdullah menunjukkan poster jualan amal berkenaan.

Pada masa ini, tempat-tempat menghantar sumbangan termasuk Pusat EDGE SMARTER di Jalan Seri Setia Satu Kampung Perpindahan Mata-Mata; Pusat EDGE SMARTER Kuala Belait di Jalan Mackerron; Pusat BACA di Simpang 822, Jalan Gadong, Kampung Jangsak; Kedai Autisme SMARTER di Unit 5B, Wisma Jaya, Jalan Pemancha, Bandar Seri Begawan; cawangan-cawangan Maybank di Kiarong dan Seria; Politeknik Brunei Kampus Lumut dan Kampus Ong Sum Ping; Honey Carsmart Sdn Bhd cawangan Bunut; Citis Square, Jalan Airport, Berakas; dan Studio 96, A7, Tingkat 1, Kompleks Hau Man Yong, Kiulap.

Di samping itu, SMARTER Brunei turut memberitahu bahawa mereka boleh menguruskan pengambilan bagi barangan-barangan besar dengan menghubungi hotline SMARTER di talian 7172991 atau talian pejabat 2420225, 2654812.

Tarikh akhir bagi penghantaran sumbangan adalah pada 18 Ogos 2016.

Dalam pada itu, seramai 30 orang anggota Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) telah menjalankan kempen pembersihan di Pusat EDGE SMARTER, Mata-Mata, bersempena dengan ulang tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-50 tahun.

Dalam kempen berkenaan, anggota TUDB berkenaan telah memotong rumput, membersihkan longkang dan persekitaran pusat berkenaan.

Sebagai penghargaan, presiden SMARTER, Malai Haji Abdullah bin Haji Malai Othman bersama beberapa orang ibu bapa dan kakitangan telah menyampaikan sijil penghargaan kepada Mejar (U) Johar bin Haji Abdullah selaku wakil rombongan TUDB.

Sehubungan itu, SMARTER Brunei dalam kenyataannya menyampaikan penghargaan dan terima kasih atas kerja keras dan sokongan yang diberikan oleh ABDB terutamanya TUDB dalam memastikan dan mengekalkan keselamatan, kesesuaian dan ketenangan kemudahan mereka bagi semua individu autisme dan keluarga mereka di Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA