Jualan amal untuk anak-anak yatim

Jualan amal untuk anak-anak yatim

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Jualan Bazar Amal Pesta Pantai Muara anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kiulap dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara telah bermula hari ini di Pantai Muara di mana ia akan berlangsung sehingga 3 April.

Acara ini diadakan bagi menggalakkan dan memupuk minat masyarakat Brunei untuk melakukan kerja-kerja amal dengan memberi sumbangan kepada tabung anak-anak yatim Kampung Kiulap dan membantu mereka yang kurang berkemampuan.

Ahli MPK Kiulap, Dayang Siti Fatimah binti Haji Jair memberitahu Media Permata, acara yang juga bersempena cuti-cuti sekolah ini turut dimeriahkan dengan bermacam-macam aktiviti dan sukan ria daripada pelbagai pihak ikut serta.

Berbagai-bagai jenis jualan ditawarkan oleh pelbagai pihak termasuk MPK Kiulap yang mengetengahkan produk-produk mereka, sekolah-sekolah dan banyak lagi.

Beliau turut menjelaskan bahawa acara amal ini antara lain bertujuan untuk memberikan bantuan kewangan kepada golongan anak-anak yatim serta orang yang kurang berkemampuan.

Baju-baju yang dijual pada jualan amal itu.
Baju-baju yang dijual pada jualan amal itu.

Bantuan ini, ujarnya, diharap sedikit sebanyak dapat membantu mereka dalam persiapan perbelanjaan persekolahan dan perbelanjaan harian.

Selain daripada itu, acara ini juga memberi peluang kepada para peniaga kecil dan sederhana untuk berniaga sambil beramal, mengeratkan hubungan silaturahim di antara ahli-ahli jawatankuasa kampung dan jabatan-jabatan kerajaan, warga sekolah-sekolah, badan-badan persatuan dan orang ramai.

Dayang Siti juga memberitahu, Majlis Perasmian Jualan Bazar Amal Pesta Pantai ini akan berlangsung esok, yang akan turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan bagi para peniaga yang berkesudian memberi sumbangan derma kepada anak-anak yatim dan orang kurang berkemampuan.

Turut memeriahkan acara ialah bouncer, persembahan pentas daripada persatuan dan sekolah-sekolah, persembahan pentas budaya seni Brunei oleh Rumah Pusaka, senamrobik, melukis, pertandingan mewarna, aktiviti sukan ria dan banyak lagi.

Acara ini turut disertai oleh Persatuan Pekikik Brunei yang memeriahkan suasana bazar dengan aktiviti menarik.

Salah seorang ahli Persatuan Pekikik Brunei, Haji Besar bin Haji Bungsu berkata, hari ini mereka menerbangkan sebanyak 200 kikik (layang-layang) hasil buatan persatuan berkenaan, antaranya layang-layang Serdang, Kandang, Kikik Panji Brunei dan banyak lagi.

Beliau juga memberitahu, selain menyertai acara MPK Kiulap, persatuan mereka juga akan mengadakan pameran dan jualan di Dermaga Diraja pada 1 April, di mana lebih banyak model layang-layang yang unik akan dipamerkan dan dijual kepada orang ramai.

ARTIKEL YANG SAMA