Jualan bantu peniaga kecil

Jualan bantu peniaga kecil

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Bidang keusahawanan terus diberikan penekanan dengan semakin ramai usahawan-usahawan tempatan mula menerokai bidang jualan daripada skala kecil-kecilan bagi memperoleh hasil pendapatan dalam bidang perniagaan atau keusahawanan itu.

Usaha untuk menggalakkan penyertaan masyarakat khususnya penduduk kampung menerokai bidang perniagaan bukan sahaja dilaksanakan oleh pihak kerajaan tetapi badan-badan kampung juga boleh memainkan peranan berkenaan.

Sehubungan itu, ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar, mengadakan Acara Jualan Mesra selama dua hari bermula pada 30 April hingga 1 Mei yang diadakan di No.4, Simpang 538-37-3, Jalan Kebangsaan Lama.

Jualan mesra itu merupakan salah satu kegiatan bukan sahaja untuk menyatukan penduduk sekitar Kampung Sungai Akar tetapi juga diharap dapat membantu para peniaga mencari pendapatan sampingan dan menjual barangan terpakai.

Ia merupakan kegiatan rintis jemaah masjid bersama penduduk kampung berkenaan yang mana menurut pihak penganjur kegiatan jualan serupa akan terus diadakan pada masa akan datang.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali berkunjung ke jualan mesra berkenaan.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali berkunjung ke jualan mesra berkenaan.

Selain itu, jualan itu juga diadakan bertepatan dengan Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan di mana ia memberikan peluang kepada orang ramai untuk beriadah sambil membeli-belah bersama keluarga.

Para peniaga dalam jualan itu juga menerima suntikan semangat apabila pada hari pertama jualan, Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong selaku Penaung Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, meluangkan masa berkunjung ke jualan itu serta beramah-mesra dengan para peniaga dan pengunjung ke jualan mesra itu.

Menurut para peniaga jualan itu, kehadiran Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali merupakan satu suntikan semangat kepada mereka untuk mengembangkan perniagaan mereka serta memajukan perniagaan mereka untuk membantu mengembangkan atau menerokai sektor pelancongan.

Pihak penganjur menyatakan hasrat dan harapan untuk meneruskan kegiatan jualan itu dari masa ke semasa serta untuk memperkenalkan dan mempelbagaikan lagi peniaga-peniaga yang menyertai jualan mesra berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA