Jualan Car Boot meriahkan program Daerah Tutong

Jualan Car Boot meriahkan program Daerah Tutong

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 6 Nov – Bagi menarik orang ramai untuk berkunjung ke Taman Rekreasi Sungai Basong dan memeriahkan lagi program Hari Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Etnik Daerah Tutong yang telah bermula sejak 2 November lalu, Jualan Car Boot diadakan bermula hari ini hingga 8 November.

Jualan ini merupakan salah satu strategi pemasaran program berkenaan untuk menyediakan pelbagai aktiviti bagi penyertaan ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung serta masyarakat di daerah ini supaya mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan secara kecil-kecilan yang boleh mendatangkan pendapatan sampingan.

Menerusi jualan berkonsepkan Car Boot ini, pelbagai barangan dijual yang terdiri daripada barang-barang terpakai, makanan dan minuman serta seumpamanya.

Selain daripada itu, jualan yang dibuka dari pukul 7 pagi hingga 5 petang itu turut dimeriahkan dengan acara-acara sampingan seperti persembahan kebudayaan, permainan Bouncers dan Pony Ride khusus bagi kanak-kanak.

Orang ramai atau pengusaha-pengusaha yang berminat untuk menyertai jualan ini, penyertaan masih lagi dibukakan dengan bayaran sebanyak $10 sehari.

Jualan Car Boot telah bermula kelmarin hingga 8 November ini di Taman Rekreasi Sungai Basong.
Jualan Car Boot telah bermula kelmarin hingga 8 November ini di Taman Rekreasi Sungai Basong.

Pemilihan acara ini di Taman Rekreasi Sungai Basong adalah berdasarkan kepada potensi yang terdapat di taman berkenaan yang mempunyai berbagai-bagai kemudahan yang boleh dimanfaatkan oleh semua golongan masyarakat melalui aktiviti-aktiviti berbentuk riadah, sukan, pendidikan dan perekonomian.

Ini ditambah lagi dengan kedudukan taman yang strategik dan berada di kawasan bandar yang menjadikannya sebagai sebuah taman yang berkonsepkan Taman dalam Bandar.

Melalui Program Hari Warisan, Kesenian dan Kebudayaan Etnik Daerah Tutong, para pelawat dan pelancong berpeluang menyaksikan keunikan dan keindahan warisan budaya etnik di Daerah Tutong melalui pameran yang diadakan di rumah-rumah warisan etnik seperti menyumpit, demonstrasi makanan dan minuman puak-puak dan masyarakat di daerah ini serta sebagainya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi pihak urus setia Unit Institusi Mukim dan Kampung Jabatan Daerah Tutong atau Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong melalui talian 8679017 dan 8985788.

ARTIKEL YANG SAMA