Jualan garaj ...

Jualan garaj bantu ibu tunggal

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 15 Feb – Inisiatif jualan garaj yang antara lain bertujuan membantu memperkasakan asas pendapatan dalam kalangan ibu tunggal dengan menjual pakaian terpakai, di samping berbagai jenis makanan dan barangan lainnya telah dimulakan secara pilot setiap penghujung minggu di sini.

Projek pilot anjuran Syarikat Muslimah Rizqah disokong oleh Majlis Perundingan Mukim (MPM) Kuala Belait itu sebagai merintis projek keusahawanan bagi membantu meringankan beban kewangan dalam kalangan ibu-ibu tunggal serta untuk mendidik golongan itu supaya hidup berdikari.

Selain itu, tujuan utama projek berkenaan adalah untuk membantu mempromosikan perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan oleh kalangan ibu tunggal dan seterusnya akan memperkasakan mereka yang kurang berkemampuan untuk membina masa depan diri dan keluarga yang di tanggung dengan lebih sejahtera.

Penghulu Mukim Belait, Haji Pungut bin Haji Ali, semasa ditemui Media Permata hari ini berkata, beliau menyambut baik inisiatif seperti itu, lebih-lebih lagi ia boleh memberikan peluang kepada kalangan ibu-ibu tunggal menceburkan diri dalam bidang perniagaan secara kecil-kecilan dan dalam masa yang sama boleh mempromosikan produk hasil buatan mereka, bagi yang berkebolehan membuat kuih-muih, kraf tangan, jahitan dan sebagainya.

“Projek Sokongan Ibu Tunggal ini perlu diberikan sokongan, kerana ia merupakan aktiviti berkebajikan dan melaluinya nanti adalah diharapkan pesertanya akan mendapat hasil dan dapat menambahkan pendapatan harian mereka,” ujarnya sambil menyeru ibu-ibu tunggal yang ingin menyertainya supaya tampil ke hadapan.

Jualan Garaj bagi Projek Sokong Ibu Tunggal diadakan setiap hari Sabtu dan Ahad.
Jualan Garaj bagi Projek Sokong Ibu Tunggal diadakan setiap hari Sabtu dan Ahad.

Menurutnya lagi, mesyuarat lantikan jawatankuasa ad hoc perlaksanaan projek tersebut akan diadakan dalam sedikit masa lagi, dengan dipengerusikan oleh penganjurnya,

Selaku penghulu, tambahnya, beliau akan memaklumkan kepada biro-biro wanita MPM dan majlis perundingan kampung untuk sama-sama ikut serta memberikan sokongan.

Haji Pungut juga memberitahu bahawa beliau telah mengunjungi untuk meninjau projek tersebut yang telah bermula Sabtu lalu di Simpang 363-29-73-12-3 Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Pandan 7 di sini dan katanya, setakat ini ia disertai oleh empat orang ibu tunggal dengan menjual pakaian terpakai dewasa lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, peralatan dapur   di samping makanan seperti kek serta makanan kering dan sebagainya.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan atas inisiatif yang dilakukan oleh penganjurnya dan perkara yang baik seperti ini perlu kita sambut dengan memberikan sokongan yang positif, demi kemajuan anak-anak buah kampung dan juga bagi menyuntikkan semangat masyarakat kita agar sentiasa menyemaikan sikap bekerjasama dan berniaga secara berkumpulan untuk mencapai kejayaan bersama.

“Bermula dengan secara kecil-kecilan tetapi semoga dengan keberkatan perpaduan ia akan menjadi usaha yang boleh diperbesarkan di suatu masa nanti,” ujarnya.

Projek jualan tersebut diadakan setiap Sabtu dan Ahad bermula pukul 1 petang pada Sabtu dan 10 pagi pada Ahad.

ARTIKEL YANG SAMA