Jualan kereta M’sia cecah paras tertinggi

Jualan kereta M’sia cecah paras tertinggi

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Industri kereta Malaysia merekodkan paras jualan kenderaan (TIV) yang tertinggi berjumlah 666,674 unit dalam 2015, mengatasi rekod tahun lepas sebanyak 666,487, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Presidennya, Datuk Aishah Ahmad berkata persatuan itu menjangka TIV menurun sebanyak 2.5 peratus kepada 650,000 unit untuk 2016.

Kekukuhan prestasi 2015 disumbangkan oleh banyak faktor seperti normalisasi jualan kenderaan selepas pelaksanaan GST, pengenalan model baharu dan kempen jualan yang lebih agresif oleh syarikat kereta, terutamanya pada bulan-bulan terakhir tahun tersebut.

“Cabaran bagaimanapun kekal untuk tahun ini, dengan kelemahan ringgit terus menjejaskan keyakinan perniagaan dan sentimen pengguna,” katanya pada taklimat media mengenai kajian pasaran dalam industri untuk 2015 dan prospek 2016.

Aishah berkata sektor automotif 2015 telah dipacu oleh pengenalan model baharu, pacuan empat roda, pikap dan segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) dan keadaan ini dijangka terus memberi sokongan pada TIV tahun ini. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA